PH Berkuasa Lebih Ghairah Main Politik, Rakyat Merana Hilang Kerja


KUALA LUMPUR, 17 Dis – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan membidas Pakatan Harapan (PH) yang dilihat lebih ghairah bermain politik, mencipta fitnah dan propaganda baru untuk memburukkan kerajaan dan pemimpin terdahulu.

Katanya, PH langsung tidak berminat untuk membina negara serta menaikkan taraf pendapatan rakyat.

“Kita gunakan mesin masa… ingat lagi janji Manifesto PH mahu wujudkan 1 juta peluang pekerjaan baru? Ingat lagi janji PH nak bawa pulang rakyat Malaysia bekerja di Singapura untuk diberi kerja di sini? Kemudian dijanjikan hapus segala hutang PTPTN, hutang Felda dan sebagainya,” katanya dalam hantaran terbaru menerusi laman media sosialnya.

Tegas beliau, rakyat terpedaya dan akhirnya memilih PH pada 9 Mei 2018.

“Sekarang dah 18 bulan PH mentadbir Putrajaya, apa yang berlaku? PH punya sembang, babi pun boleh terbang, satu yang mereka sebut 10 tak boleh dipercaya.

“1 Juta peluang pekerjaan gagal diwujudkan, lebih malang bila ratusan ribu rakyat hilang mata pencarian. PH bukan sahaja gagal membantu ringankan beban rakyat, malah lebih menyusahkan dan menjerat.

“815 orang pekerja Utusan diberhentikan pada Oktober lalu, lebih 17,000 penjawat awam hilang mata pencarian pada tahun lepas. Menteri PH juga mengesahkan 21,500 orang hilang kerja setakat Disember 2018.

“Yang terkini seramai 543 kakitangan NSTP, Media Prima pula mengalami nasib malang dan akan hilang punca pendapatan.”

Katanya, apabila kerajaan gagal mewujudkan peluang pekerjaan sudah pastinya akan beri banyak kesan buruk terutamanya kepada anak muda lepasan universiti.

“Saya bimbang pelbagai kesan negatif seperti peningkatan kadar jenayah juga akan berlaku apabila kadar pengangguran meningkat dengan mendadak.

“Rakyat tertanya tanya, apa yang sedang berlaku dengan negara kita sekarang? Adakah Malaysia menuju kehancuran di tangan PH yang sedang berkuasa?

“Ibarat kata orang orang lama ‘kera dapat bunga, tikus baikkan labu’, tiada apa yang dibetulkan tapi segala yang dibina dimusnahkan.”

Namun jelas beliau, rakyat semakin bijak dan sedar lantas jangan benarkan PH menipu kita berkali-kali.

“Jangan kita benarkan mereka terus berkuasa. Cukuplah PH kerajaan sepenggal,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.