Dong Jiao Zong Cukuplah Hina Melayu – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 17 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas pertubuhan rasis sempit Dong Jiao Zong yang sekali lagi meneruskan sikap kurang ajar mereka.

Ini berikutan perancangan Dong Jiao Zong untuk mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember bagi membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah vernakular.

“Tak ada sebab kenapa tulisan Jawi tidak boleh diperkenalkan di sekolah vernakular walhal garis panduan pelajaran tulisan Jawi sudah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Persidangan protes tulisan Jawi ini memalukan dan menghina seni tulisan dan budaya orang Melayu dan Malaysia secara terbuka, tegas beliau dalam kenyataan yang disiarkan dalam media sosialnya.

Soal beliau yang juga Ketua Pembangkang, kenapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih lagi berpeluk tubuh sedangkan pertubuhan Dong Jiao Zong layak diharamkan?

“Masih layakkah PH mengemudi kerajaan setelah perpaduan di negara ini makin hari makin diuji?

“Tidakkah tindakan boleh diambil terhadap Dong Jiao Zong diatas tindakan mereka yang boleh menimbulkan bersakit-sakit hati antara rakyat?

“Kita juga bimbang takut-takut ada tindak balas dari kalangan orang Melayu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berharap pihak polis hentikan persidangan mereka bagi memastikan keamanan negara ini dapat dikekalkan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.