PWTC Sedia Terima ‘Tetamu’, Persiapan PAU 2019 lancar – Sumali

KUALA LUMPUR, 1 Dis  – Persiapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 berjalan lancar dengan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak dalam usaha memastikan kelancaran PAU 2019 yang akan bermula pada Rabu ini.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan berkata ibu pejabat parti telah bersedia dan segala usaha ke arah menjayakan PAU 2019 yang giat dilaksanakan dan ianya diharap berjalan sepertimana dirancang.

“Hari ini suasana raptai penuh acara luar dewan nampaknya berjalan lancar dengan penglibatan daripada semua pihak. Cuma ada kelainan sedikit pada acara perbarisan kali ini iaitu penyertaan perbarisan terdiri daripada Skuad Sabil dan juga Skuad Sayang kira-kira seramai 100 orang.

“Seperti biasa pada awal pagi 6 Disember iaitu Jumaat, kita akan mulakan dengan lagu sayap-sayap semasa acara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ dan seterusnya lagu UMNO ketika bendera parti dinaikkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Plaza Merdeka.

“Insya-Allah… kita sama-sama doakan perjalanan PAU 2019 berjalan lancar dan pelbagai pengisian program diadakan sepanjang PAU 2019 termasuklah gerai-gerai yang berada di aras tiga. Kali ini lebih 250 gerai disediakan setelah permintaan yang terlalu ramai,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau mengetuai dan menyaksikan raptai penuh acara luar dewan yang bermula pada pukul 7.30 pagi.

Sumali seterusnya memberitahu raptai penuh untuk acara di dalam dewan pula akan diadakan pada Selasa ini termasuklah persediaan untuk persidangan sayap-sayap di dewan masing-masing.

“Manakala persiapan-persiapan lain yang berkaitan dengan PAU 2019 telah bermula sebelum ini lagi dan insya-Allah saya rasa Isnin semuanya sudah bersedia untuk menerima tetamu dan menjayakan PAU 2019,” ujarnya. – UMNO Online 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.