PRK Tg Piai Manifestasi Penolakan Rakyat Terhadap PH – Ismail Sabri

TANJUNG PIAI, 17 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap kemenangan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah manifestasi kepada penolakan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Jelas beliau, rakyat telah memberi isyarat yang jelas dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) sebanyak 15,086 undi adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Rakyat sudah sedar bahawa selama ini janji PH tidak ditepati… sehingga kini malah kerajaan gagal menjaga kepentingan rakyat terutamanya masyarakat luar bandar yang melibatkan nelayan dan pekebun kelapa sawit.

“Pendapatan kemiskinan rakyat luar bandar semakin menurun dan ini menyebabkan peniaga-peniaga kaum Cina mendapat tempias apabila mereka kurang berpendapatan dan tentu sahaja kurang berbelanja di kedai-kedai sekitar Tanjung Piai ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Tambah Ismail lagi, ini yang menyebabkan kedua-dua bangsa Cina dan Melayu menolak kerajaan PH. Kerajaan hari ini benar-benar tidak sensitif dengan suara rakyat setelah empat kali mereka ditolak melalui PRK.

Katanya, majoriti kekalahan PH semakin meningkat sejak dari PRK Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai dan kini semakin teruk jurang kekalahan mereka.

“Ini merupakan isyarat rakyat benar-benar ikhlas dan mahu mendengar suara rakyat. Saya cadangkan bubar sahaja kerajaan. Itulah yang terbaik… serahkan kepada rakyat menentukan masa depan negara,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.