PRK Tg Piai: Anak Muda Jangan Tertipu PH lagi, Undilah BN – Saarani


Tanjung Piai, 14 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah peluang terbaik untuk anak-anak muda menebus kesilapan setelah tertipu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14 yang lalu.

Jelas beliau, anak-anak muda harus bangkit kembali dan jangan ditipu buat kali kedua berturut-turut oleh Pakatan Harapan (PH).

“Wahai anak muda jangan malu dan mengaku kesilapan, kami tak marah, jangan sesiapa marahkan anak-anak muda, mereka tersilap kerana telah dijanjikan dengan pelbagai janji manis. Kalau tersilap … maafkan dia (anak muda).

“Anak-anak muda… kami buka dengan tangan terbuka datang ke sini dan sokong calon BN Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng,” katanya dalam ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Melayu Raya, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO (SUA), Tan Sri Annuar Musa; Ahli Dewan Negara, Senator Khairul Azwan Harun; Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli; Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Ali Sheikh Ahmad.

Mengenai pengundi-pengundi baru yang belum pernah mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan juga pengundi muda yang pernah mengundi, jelas Saarani lagi gunakanlah peluang ini sebaik-baik mungkin untuk memenangkan calon BN Tanjung Piai.

“Pengundi-pengundi muda telah termakan ‘gula-gula beracun’, terpedaya, tertipu dengan janji-janji kosong PH pada PRU lalu. Anak muda dijanjikan dengan peluang pekerjaan lebih baik, kos sara hidup lebih rendah, hutang PTPTN dihapuskan, harga minyak dan macam-macam lagi.

“Orang muda di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau telah sedar dan memberikan undi kepada BN, maka di sini saya merayu kepada pengundi-pengundi muda Tanjung Piai… marilah mengundi BN,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.