Adun Dap Bebas Tuduhan LTTE… Adakah Wujud Desakan ‘Pintu Belakang’ ?

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Pergerakan Wanita UMNO Malaysia berasa amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Sesyen Seremban hari ini apabila membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Adun Dap Seremban Jaya, P Gunasekaran.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, pergerakan tersebut sama sekali tidak berniat untuk mempertikaikan keputusan mahkamah namun agak menghairankan apabila mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

“Selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO, bukan niat saya untuk mempertikaikan keputusan mahkamah namun bagaimana keputusan tersebut boleh dibuat sedangkan bukti secara terang menunjukkan item berhubung kait LTTE memang berada di pejabat dan kediaman beliau.

“Keputusan mahkamah ini secara tidak langsung memberi gambaran negatif kepada institusi perundangan negara. Masyarakat akan mengganggap, ahli Dap ‘kebal’ daripada sebarang tindakan undang-undang,” jelas beliau melalui satu kenyataan media, hari ini.

Noraini turut mempertikaikan, adakah keputusan pembatalan tersebut dibuat kerana wujudnya desakan secara ‘pintu belakang’.

“Sudahlah kes melibatkan anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib sehingga kini belum didakwa, kes melibatkan pemimpin Dap dalam soal LTTE ini pula begitu mudah dibatalkan.

“Inilah Malaysia Baru… ketelusan yang diuar-uarkan selama ini hanyalah mainan bibir mengelirukan rakyat,” bidas beliau lagi.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Seremban telah membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Gunasekaran. Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, di sini, masing-masing pada pukul 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Okt lepas. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.