Ambil Tanah Kg. Baru Secara Paksa, Kerajaan Tidak Ada Hak – Ismail Sabri

 

KUALA LUMPUR, 29 Okt – “Saya tidak tahu Menteri Wilayah nak guna undang-undang bawah mana… kerajaan tidak ada hak untuk mengambil tanah di Kampung Baru untuk tujuan komersial, salah di sisi undang-undang,” ujar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, Akta Pengambilan Semula Tanah 1960 Seksyen 3(A) jelas menyatakan kerajaan hanya boleh mengambil balik tanah sesiapa sahaja untuk tujuan kegunaan awam dan bukannya komersial.

“Kalau nak buat hospital ke bolehlah ambil walaupun pemilik tak setuju… boleh ambil tapi di Kampung Baru ia bukan untuk kepentingan awam tetapi komersial,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Ismail, sekiranya benar kerajaan akan mengambil tanah di Kampung Bharu secara paksa, ia jelas menunjukkan kekejaman kerajaan kepada pemilik tanah berkenaan.

“Kalau inilah yang dibuat, ia merupakan kekejaman kepada pemilik tanah di Kampung Baru kerana dari segi untuk membangunkan tanah adalah hak mereka sendiri.

“Kerajaan tidak ada hak untuk merampas tanah mereka,” bidas beliau LAGI.

Ismail Sabri berkata demkian mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bahawa kerajaan akan mempertimbangkan mengambil tanah Kampung Baru secara paksa sebagai pilihan terakhir jika ada segelintir pemilik yang masih berdegil untuk menjual lot mereka. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.