Sidang Parlimen: Jelutong Berkali-kali Langgar Peraturan Tapi Bebas…

KUALA LUMPUR – “Jelutong hampir setiap hari buat pernyataan yang bertentangan dengan Perkara 36(4) 36(6) di dalam Dewan… tidak pernah diambil tindakan tetapi bila pembangkang, sudah minta maaf dan tarik balik pun kena keluar Dewan,” luah Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang dilihat berat sebelah apabila menghalau dan menggantung Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim selama dua hari.

“Baling kena gantung hanya kerana dia cakap Speaker berat sebelah. Baling telah memohon maaf dan menarik balik tapi tetap kena sedangkan, Jelutong yang berkali-kali buat hal di dalam Dewan tidak pernah diambil tindakan.

“Tidak pernah nampak sejak daripada awal Parlimen bersidang Jelutong dikeluarkan sedangkan hampir setiap hari Jelutong melanggar peraturan Dewan.

“Saya rasa semua tahu tindakan Jelutong… kamu media pun tahu tetapi dia tidak pernah dikeluarkan daripada Dewan seolah-olah ada kekebalan di peringkat Ahli Parlimen Kerajaan untuk membuat apa sahaja dalam Dewan tetapi dilindungi sedangkan pembangkang melakukan kesilapan kononnya dan sudah pun menarik balik masih lagi dikeluarkan daripada Dewan,” bidas beliau.

Justeru Ismail berharap agar Speaker dapat mengubah cara untuk berlaku adil kerana apabila Speaker berada di atas, maka tidak boleh mewakili mana-mana parti.

“Dia adalah Speaker yang mewakili semua Ahli Dewan. Lepas ini saya harap Speaker boleh melupakan dirinya mewakili parti mana kerana dia perlu bersikap adil,” ujar beliau.

Mohamad Ariff membuat keputusan menghalau Azeez selepas menurutnya wakil rakyat berkenaan enggan menarik semula kenyataannya terhadap speaker Dewan Rakyat.

“Baling (Abdul Azeez) sebut saya berat sebelah, sekali lagi sebut saya akan usir. Usir, beliau dihalang memasuki Dewan Rakyat selama dua hari. Saya minta dia keluar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Walaupun selepas itu Abdul Azeez berkali-kali mahu menarik balik kenyataannya itu namun Mohamad Ariff mengarahkan Bentara mengiringi Azeez keluar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.