Berkhidmat Untuk Rakyat Bukan PH, Penguasa Jangan Lindungi Penjenayah – Pemuda UMNO

SEMINGGU sekali akan muncul berita-berita sensasi salah laku pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tentunya akan memeningkan Perdana Menteri (PM) pada masa kini.

2. Kalau nak dihitung, tidak terkiranya banyaknya salahlaku tersebut daripada sekecil-kecil sehinggalah ke sebesar-besar pangkat pemimpin yang tentunya membimbangkan kita sebagai rakyat terhadap nasib negara ini diperintah oleh mereka.

3. Anehnya, elemen gangsterisme, peras ugut dan salahlaku sebegini terpalit kepada hanya 3 parti komponen PH sendiri, iaitu Dap, PKR & Pan.

– Salahlaku rasuah pegawai khas Menteri Pertahanan sekarang serta isu penglibatan dadah anak Presiden Pan yang terus didiamkan sehingga kini.

– Kes rogol amah Indonesia oleh Exco Negeri Perak Dap yang dibela berterusan oleh rakan-rakan pemimpin Dap dengan mereka-reka cerita dan laporan palsu.

– Kes jenayah kekerasan terbaru melibatkan Setiausaha Politik Presiden PKR yang sampai sehingga kini si pelaku diburu polis, dan ‘boss’nya pula menafikan beberapa maklumat tentang keberadaan beliau.

4. Ternyata elemen keganasan melampau dan buli menjadi asas utama PH menerajui negara. Lebih-lebih lagi ianya melibatkan parti bakal PM ke-8 yang tentunya memberikan igauan ngeri kepada rakyat.

5. Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan memohon tindakan pihak penguasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara untuk bertegas dan menangkap pelaku-pelaku ini bagi memberi gambaran bahawa kerajaan baru ini serius dalam menangani kes jenayah.

6. PDRM sendiri perlu berberkecuali dan mengambil tindakan pada semua kesalahan demi kepentingan rakyat “Without Fear and Favour”. Kes-kes yang melibatkan provokasi agama dan perkauman yang dimainkan oleh pemimpin Dap, PKR dan Pan ini yang tentunya menghuru-harakan keharmonian dalam negara kita sebelum ini terlepas begitu sahaja.

7. PDRM perlu buktikan kepada kami bahawa anda bukanlah berkhidmat untuk parti PH, tetapi berkhidmat untuk RAKYAT. Pemuda Kelantan membawa suara rakyat bahawa kami tidak berkompromi dengan sebarang perlindungan (cover up) kes yang melibatkan perosak negara ini. Kami semua di belakang anda.

Noor Hariri bin Mohamed Noor
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.