Patutnya Apa Yang Elok Untuk Rakyat Teruskanlah Tapi PH Semua Nak Batal

JASIN, 24 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg Rambai, Datuk Hassan Abdul Rahman melahirkan kekecewan setelah pembangunan yang dirancang serta yang dilaksanakan sebelum ini di kawasan itu ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada satu ketika dahulu tidak diteruskan.

Menurut beliau pihaknya berjuang bersungguh-sungguh untuk kemudahan dan kesenangan penduduk setempat namun sebaliknya berlaku hari ini seperti taraf daerah telah ditarik balik yang akhirnya menimbulkan kesukaran kepada penduduk setempat membabitkan urusan dengan agensi kerajaan.

“Kita terkilan pelbagai perancangan untuk Sungai Rambai tidak menjadi kenyataan selepas bertukar kerajaan pada pilihan raya umum lalu. Kita sudah berjuang bermati-matian sehingga Sungai Rambai dapat taraf daerah… dua tahun penduduk merasai Sungai Rambai menjadi Daerah… Pejabat Daerah Sungai Rambai pun sudah dibina. Lebih 40 jabatan dan agensi kerajaan serta anak syarikat ada dekat RTC Sungai Rambai. Orang kampung dapat perkhidmatan dengan begitu baik… bayar cukai itu dan ini segalanya… daftar JPN pun mudah.

“Sepatutnya yang kita dah bina untuk rakyat itu diteruskan tetapi ditarik balik. Pejabat Daerah Sungai Rambai tutup sekarang dan sudah menjadi ‘rumah berhantu’. Apa nak jadi kepada Sungai Rambai. Pekan Sungai Rambai yang lama kerajaan BN dah setuju dan ambil semua tanah untuk bina kedai baru… kita tidak sambung pajakan kerana nak bangunkan pekan lama kepada pekan yang baru. Kemudian kita akan susun, tetapi apabila kerajaan PH memerintah habis ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Penyatuan Ummah di sini, Jumaat malam.

Turut berceramah Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzzaman Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Melaka Ust Kamarudin Sedik.

Tambahnya lagi apabila kerajaan PH memerintah segala perancanagan untuk Sungai Rambai tidak menjadi sedangkan niat kerajaan BN sebelum ini untuk bangunkan Pekan Sungai Rambai.

Beliau yang juga Ketua UMNO Jasin seterusnya memberitahu segala strategi telah diatur dalam usaha menjayakan penyatuan umah dan sekaligus mendepani pilihan raya umum akan datang bersama rakan-rakan parti yang lain.

“Transformasi pemikiran mesti ada. Kita kena cari dan gerakkan jentera terutama melibatkan pengundi walaupun pendaftaran automatik. Kita ada strategi tersendiri dan kita tidak sanggup nak melihat kerajaan yang ada hari ini… bagaimana semua harga jatuh… kelapa sawit… yang tidak jatuh harga petrol sahaja sepertimana yang mereka janjikan.

“Ini yang kita nak betulkan. Bukan sahaja UMNO malah kita percaya dan yakin PAS juga mempunyai strateginya dan kita akan gabung bersama selepas ini apabila sampai waktunya. Ada strategi yang dah berjalan dan ada strategi yang sedang menunggu masa untuk digerakkan.

“Salah satu yang kita laksanakan sepertimana pada malam ini menerusi ceramah penyatuan ummah ini bersama PAS. Kita bina kekuatan bersama. Kita mesti kuat,” ujarnya. – UMNO Online