Kerjasama UMNO-PAS Bukan Pinggir Sesiapa, ‘Dalilnya’ Sudah Ada, Tidak Ada Yang Diketepikan 

 

JASIN, 24 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pelbagai tuduhan dan pelbagai ungkapan akan dikeluarkan oleh mereka yang ingin melihat kerjasama antara parti itu dan PAS yang akan mencatat sejarah tersendiri pada 14 September ini menerusi pemeteraian kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan.

Serentak itu beliau yang juga Ahli parlimen Lenggong sekali lagi menegaskan bahawa kerjasama tersebut sama sekali tidak akan meminggirkan mana-mana kaum dan mana-mana pihak sekalipun sebaliknya akan memberi kebaikan yang menyeluruh kepadan seluruh rakyat di negara ini.

“Jangan dengar apa jua tuduhan daripada sebelah sana berhubung kerjasama ini… mereka akan kata macam-macam termasuklah kerjasama ini pinggirkan kaum lain dan sebagainya lagi. Kita  beri jaminan kerjasama bukan hanya kebaikan kepada umat Islam Melayu dan Bumiputera tetapi beri manfaat kepada seluruh rakyat… Cina, India, Kadazan, Iban, Murut dan seluruh rakyat.

“Kita ada dalilnya 62 tahun UMNO bersama Barisan Nasional (BN) memimpin serta menerajui negara. 62 tahun apa yang kita tidak buat… malah tidak ada diskriminasi sebaliknya penuh dengan keadilan. Begitu juga PAS yang memerintah sekian lama dan Terengganu hari ini. Tidak ada diskriminasi malah memberikan hak kepada semua kaum sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Penyatuan Ummah, di Dataran Tok Pondok, Kg Pt Sidang Seman, di sini, Jumaat malam.

Ceramah tersebut turut menampilkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzzman Mohamad dan barisan pimpinan kedua-dua parti setempat.

Shamsul seterusnya menambah sejarah kerjasama antara kedua-dua parti bukan perkara baru malah pernah berlaku pada satu waktu dahulu ketika zaman Tun Abdul Razak.

“Sebab itulah mereka di sebelah sana bimbang… sejarah lalu memperlihatkan apabila kedua-dua parti bekerjasama menerusi BN selepas ditukar nama daripada Perikatan, ianya menang besar. Inilah yang mereka bimbang takut berlaku peristiwa pada pilihan raya umum 1974.

“Sebab itulah kita kena lihat hikmah ini. Apabila dua parti PAS dan UMNO mula berganding tangan dan membentuk kerjasama maka insya-Allah akan berlaku pada 14 September nanti mula ada suara sumbang terutama daripada Dap sehingga timbul kenyataan akan jadi seperti Taliban dan sebagainya,” ujarnya.

Ujarnya lagi itulah hikmah yang cukup besar sejurus pilihan raya umum yang lalu dan pastinya ia cukup berharga serta bakal mencatat sejarah tersendiri dalam negara sekaligus bakal merubah landskap politik selain menawarkan tawaran yang lebih hebat daripada kerajaan yang ada pada hari ini.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzzman Mohamad dalam ucapannya berkata tidak pernah terbayang UMNO dan PAS boleh duduk sepentas dan boleh bersama selepas pilihan raya umum yang lalu.

Menurut beliau setelah puluhan tahun bergaduh namun selepas PRU-14 menyaksikan dua parti politik terbesar umat Islam boleh duduk bersama.

“Tidak pernah kita terbayang UMNO dan PAS boleh duduk di atas satu pentas. Dan kekalahan yang berlaku ini kita perlu ambil iktibar selepas ini dan kita ketepikan  pandangan-pandangan yang berbeza di antara kita serta kita perlu ambil pandangan yang perlu kita bersama.

“Kita mempunyai seribu sebab untuk berpecah… saya makan budu… tuan-tuan makan cencalok, saya suka durian dan ada yang tidak suka durian. Seribu sebab kita boleh cari perbezaan antara kita. Tetapi kita hanya perlu mencari satu sebab yang perlu untuk menyatukan kita.

“Apakah sebab yang perlu kita bersatu. Kita perlu bersatu demi untuk mempertahankan kedudukan Islam sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan negara,” katanya. – UMNO Online

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.