Tindakan Paul Yong Enggan Bercuti Bertentangan Prinsip ‘Rule Of Law’

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Perak terkejut dengan tindak balas Bendahari Dap Perak, YB Paul Yong Choo Keong yang secara terbuka menolak gesaan YAB Menteri Besar Perak supaya dia bercuti daripada tugas rasmi sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Perak, Datuk Saarani Mohamad melihat bahawa kenyataan Paul Yong itu bukan sahaja satu tindakan membelakangkan institusi menteri besar, malah ia bertentangan dengan prinsip rule of law.

“BPUN Perak secara prinsip menyokong saranan YAB Menteri Besar supaya Paul Yong bercuti daripada jawatan exco bagi memastikan proses undang-undang dapat dihormati selain memelihara maruah dan imej pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak, tindak balas Paul Yong terhadap gesaan YAB Menteri Besar bercanggah dengan nilai-nilai integriti sekaligus menimbulkan persoalan apa sudah jadi dengan prinsip akauntabiliti yang sering dilaung-laungkan Dap selama ini.

“Tindakan itu juga membuktikan tindakan memperlekeh dan membelakangkan menteri besar seolah-olah sudah menjadi budaya dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri setelah rakyat dikejutkan dengan siri cubaan menjatuhkan menteri besar sebelum ini.

“Perkembangan terbaru ini sekadar melengkapkan episod demi episod kerapuhan pentadbiran kerajaan negeri yang sarat dengan kontroversi sehingga rakyat menjadi mangsa kesuraman ekonomi dan ketidakstabilan politik.”

Tegasnya, berhubung kes mahkamah yang dihadapi Paul Yong, UMNO Perak mengingatkan semua pihak supaya menghormati proses undang-undang bagi memastikan perbicaraan dijalankan secara adil tanpa campur tangan politik. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.