Tegakkan Benang Basah, Setiausaha Politik MB Selangor Main Silat Lidah Nafikan Realiti

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ketua Pembangkang Selangor, YB Rizam Ismail membidas Setiausaha Politik kepada Menteri Besarnya, YB Borhan Aman Shah yang telah mengeluarkan kenyataan balas tentang kritikan berkenaan banyak program bantuan rakyat Selangor yang telah dipotong oleh kerajaan Negeri.

Katanya, kenyataan YB Borhan ini hanyalah cubaan untuk menegakkan benang yang basah apabila menggambarkan kerajaan Negeri Selangor adalah kerajaan yang bertanggungjawab manakala penjajaran semula pelbagai insentif kerajaan Negeri ini bukanlah bersifat pemotongan sebaliknya disusun semula dengan tumpuan kononnya dialih kepada proses pemberdayaan rakyat.

“Suka saya ingatkan di sini tentang bagaimana cadangan awal penstrukturan semula pemberian air percuma yang sebelum ini diberikan kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira latar belakang telah diterhadkan kepada hanya golongan B40.

“Sudahlah begitu, kelayakan pula adalah terhad kepada mereka yang berdaftar dan mempunyai profil data dalam senarai e-Kasih,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini

Selain itu, katanya, pemberian wang tunai RM1,500 kepada semua anak kelahiran Selangor menerusi Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) juga telah dikecilkan skopnya terhad kepada remaja berusia 18 tahun yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sahaja.

“Menteri Besar dalam Belanjawan 2019 telah berjanji akan berbincang dengan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) untuk meneruskan program ADAM50 yang sebelum ini dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan, tetapi sehingga kini langsung tiada berita tentang perkara ini.

“YB Borhan juga janganlah buat-buat lupa bagaimana Insentif Perkahwinan Belia berjumlah RM500 telah ditarik balik dan digantikan dengan kursus asas perkahwinan yang sehingga kini masih tidak diketahui sejauh mana keberkesanannya.”

Katanya, Skim Mesra Usia Emas yang sebelum ini memperuntukkan wang khairat kematian sejumlah RM2,500 juga telah dikurangkan kepada baucar shopping RM100 setahun atau dengan bahasa mudahnya, nilai warga emas di mata kerajaan Negeri hanyalah 27 sen sehari.

“Saya sarankan agar YB Borhan dapat menonton semula rakaman sidang Dewan Negeri yang lalu iaitu ketika Menteri Besar memohon peruntukan tambahan disebabkan kegagalan beliau membuat perancangan rapi tentang belanjawan negeri. Ramai rakan-rakan ADUN dari parti YB sendiri yang telah membangkitkan tentang perkara-perkara yang telah saya sebutkan di sini.

“Apa yang saya sebutkan di sini adalah suatu bukti nyata yang sememangnya benar-benar berlaku. YB Borhan boleh terus bermain silat lidah untuk mempertahankan Menteri Besar kesayangannya tetapi janganlah sehingga menafikan realiti sebenar yang berlaku,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.