PH Tidak Ikhlas, Tiada Kesungguhan Bantu Rakyat… Gagal Tunai Janji – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata urusan mentadbir dan mengurus negara bukanlah sesuatu yang mudah dilaksanakan.

Bahkan katanya dalam satu lontaran di Facebook, tidak semua mampu melakukannya walaupun dilihat mudah dengan hanya menabur janji.

“UMNO dan Komponen Barisan Nasional (BN) walaupun difitnah dengan pelbagai perkara, hakikatnya Malaysia maju di bawah pentadbirannya.

“Rakyat diutamakan dalam semua perkara.

“Kerana itu, hanya mereka yang mempunyai keiklasan dan kesungguhan membantu rakyat, membangunkan negara sahaja boleh kita harapkan,” ujarnya lagi, yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong.

Oleh itu, krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini semakin terserlah disebabkan kegagalan mereka menunaikan janji-janji, bidasnya.

“Kerajaan PH ternyata tidak ikhlas, tiada kesungguhan membantu rakyat dan gagal menunaikan janjinya,” tambahnya lagi.

Dr Shamsul turut mengulas mengenai reaksi pemilik teksi yang mahu menggerakkan kempen tukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berhubung isu Gojek.

“Saya tidak lagi mahu mengulas mengenai cadangan kerajaan PH melaksanakan Gojek. Apapun yang pasti, syarikat, pemilik atau pemandu teksi pasti akan terjejas.

“Sebab itu, jangan terpengaruh dengan janji kosong,” tegasnya.

Untuk rekod, sebelum PRU-14, pemilik teksi yang sama berkempen menukar kerajaan BN kepada PH disebabkan terpengaruh dengan janji-janji PH walaupun pelbagai kemudahan dan keistimewaan telah BN berikan kepada mereka.

Sehingga kini, setelah lebih setahun memerintah PH dilihat tidak membantu golongan teksi. – UMNO ONLINE