Paul Yong Wajar Bercuti, Dap Jangan Campuri Prosiding Mahkamah, Tegas Pemuda UMNO


KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Pemuda UMNO kesal dengan sikap pemimpin-pemimpin Dap yang bersungguh-sungguh mempertahankan Exco Kerajaan Negeri Perak Paul Yong dengan mendatangkan pelbagai teori konspirasi sedangkan mahkamah baharu sahaja mendengar pertuduhan, ujar Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Sepatutnya mereka yang kononnya memperjuangkan prinsip ‘Rule of Law’, menyerahkan sepenuhnya kepada sistem kehakiman dan perundangan untuk menentukan sama ada pemimpin Dap itu bersalah ataupun tidak.

“Justeru Pemuda UMNO sekali lagi mendesak Paul Yong untuk bercuti dan menggesa pemimpin-pemimpin Dap agar menghormati undang-undang dan sistem kehakiman negara serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai penghinaan kepada sistem perundangan negara,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pemuda UMNO juga katanya memandang serius dakwaan terhadap Paul Yong di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

“Setelah desakan demi desakan Pemuda UMNO terhadap Peguam Negara atas kelewatan pendakwaan yang membabitkan pemimpin kanan kerajaan bahkan menerima perhatian masyarakat antarabangsa kerana melibatkan warga negara jiran Indonesia, akhirnya hari ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Ipoh.

“Pemuda UMNO menyokong saranan Menteri Besar Perak, Faizal Azumu agar Paul Yong bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Exco kerana beliau berhadapan dengan kes berat yang melibatkan rogol,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.