Syed Saddiq & Dr Zakir Naik… Yang Mana Anugerah Allah SWT Buat Malaysia?

Islam dari segi istilah bermaksud kedamaian. Ajaran Islam yang penuh dengan nilai dan panduan kehidupan dunia dan akhirat menjadikan umat Islam makin berkembang luas seantero dunia. Nabi Muhammad SAW menjadi penggerak utama kepada penyebaran Islam pada umatnya. Pelbagai rintangan baginda lalui dan bersyukurlah kita kerana menjadi umatnya dan dapat merasai nikmat Islam.

2. Pada masa ini, tidak kurang hebatnya kecaman, fitnah dan ancaman bunuh yang diterima oleh para pendakwah diseluruh dunia kerana menegakkan Islam. Salah seorang pendakwah yang tidak asing lagi, Dr Zakir Naik ialah seorang doktor perubatan (MBBS), pendakwah dan penceramah yang disegani oleh orang Islam dan digeruni oleh musuh-musuh Allah swt diseluruh dunia. Isu Dr Zakir Naik menjadi isu hangat kebelakangan ini kerana beliau mengatakan orang Cina, India dan British adalah tetamu di Tanah Melayu semasa programnya di Kelantan pada 9 Ogos lepas. Beliau juga bertaraf tetamu di Malaysia ketika ini, jadi beliau mengesyorkan jika beliau perlu diusir, maka tetamu yang lebih awal hendaklah keluar terlebih dahulu. Kenyataan tersebut telah dimanipulasi oleh lima individu terbabit iaitu Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy; bekas duta, Dennis Ignatius dan Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran telah menimbulkan pelbagai persepsi pada Dr Zakir Naik.

3. Saya tidak hairan jika yang menghina, menfitnah dan mencaci itu daripada bukan Islam kerana mereka adalah musuh Allah swt yang nyata tetapi sangat mengejutkan apabila kenyataan-kenyataan menghina ilmuan agama kita adalah datang daripada saudara se-Islam kita, lebih-lebih lagi daripada seorang menteri muda, Syed Saddiq, yang bersetuju dengan musuh Allah swt bahawa Dr Zakir Naik layak dihalau dan diusir keluar dari Malaysia.

4. Kehebatan seorang doktor perubatan ini yang mampu menghafal ayat-ayat Al-Quran dan Hadis di samping kitab Injil, Taurat dan Zabur. Pengaruhnya yang kuat serta telah berjaya mengIslamkan beribu orang kafir menjadikan beliau sangat digeruni oleh musuh Allah swt di seantero dunia. Persoalannya, adakah Syed Saddiq setaraf dengan beliau? Tentunya jauh sama sekali. Sebagai Muslim sejati, kita sepatutnya mempertahankan agamawan kita dan bukannya senada dan selari dengan musuh Islam. Cukup-cukuplah bermain dengan persepsi politik tidak matang dan adakah dengan cara ini, boleh menambahkan sokongan orang Melayu Islam kepada Pakatan Harapan?

5. Sebagai menteri muda Melayu yang beragama Islam sepatutnya beliau menunjukkan contoh dan mencerminkan jiwa Islam Melayu pada semua supaya menjadi contoh pada anak-anak muda di Malaysia ini. Janganlah kerana ingin menjaga kedudukan dan berhasrat untuk menjaga kawannya Dap sehingga sanggup menggadaikan Islam dan bangsanya sendiri. Soalan saya pada YB muda ini, di manakah kamu bila Islam dipersenda, Raja-raja diperlekeh, bendera Malaysia dinodai, tentera dihina, martabat orang-orang Melayu direndahkan, mana suara lantang kamu? Kenapa kamu menikus dan mengunci mulut seribu bahasa? Kenapa tidak kamu bersuara membela orang-orang Melayu Islam?

6. Mengikut carian saya, beliau akan kalah dengan mudah di Parlimen Muar kerana daripada 50,843 pengundi berdaftar, sebanyak 62.78% adalah orang Melayu, 35.36% Cina, 1.50% Indian dan baki 0.36% lain-lain. Saya yakin apabila Piagam UMNO-PAS termeterai pada 14 September ini, kita dapat merampas semula Parlimen Muar pada PRU-15 kerana rakyat terutamanya orang Melayu sudah muak dengan cara PH yang menganaktirikan orang-orang Melayu Islam.

7. Berbalik kepada isu, kenapa Dr Zakir Naik memilih untuk menetap di Malaysia sedangkan jika dibandingkan dengan Indonesia dan negara-negara Arab, jumlah penganut Islam jauh lebih ramai? Mungkin Dr Zakir Naik ada jawapannya tersendiri tetapi apa yang pasti Dr Zakir Naik adalah anugerah dan rahmat Allah SWT pada umat Islam di Malaysia. Saya ingin menegaskan bahawa suara-suara nyamuk yang mahu mengusir Dr Zakir Naik bukanlah suara majoriti kami rakyat Malaysia, kami gembira dan mengalu-alukan Dr Zakir Naik untuk terus menetap di bumi Malaysia yang bertuah ini dan kenyataan Syed Saddiq tidak mencerminkan aspirasi dan semangat anak muda Islam di Malaysia kerana kami berpegang teguh pada perjuangan para ulamak dan umarak. Akhir kata, “Syed Saddiq out,Dr Zakir Naik in”. Sekian, salam perjuangan.

Ikhlas
Aiman Ja’apar, Subang

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.