Bantuan Bertukar Ke Pinjaman, PH Bela Nasib Rakyat Atau ‘Ular Air’?

IPOH, 7 Ogos – Tindakan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim mengubah sistem bantuan tanam semula kepada skim pinjaman untuk pekebun kecil sawit benar-benar membunuh industri sawit negara, tegas Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu, sistem pinjaman yang dikatakan Skim Pinjaman Mudah akan menyebabkan pekebun kecil akan tawar hati untuk meneruskan aktiviti tanaman sawit serta dikhuatiri akan berlaku penjualan hartanah secara besar-besaran dan akan wujud ‘ular air’ yang menjadi broker kepada taikun-taikun besar yang siap sedia memujuk pekebun kecil menjual tanah mereka.

“Adakah ini satu lagi strategi terancang untuk menipu orang kampung? Sejak dahulu lagi kita melihat banyak tanah tanah yang diberikan kepada orang kampung untuk tujuan pertanian dipindah milik kepada bukan Melayu secara jual beli dan cara tipu muslihat yang membabitkan jabatan kerajaan.

“Orang Melayu suka menggadai atau memajak tanah mereka kepada tauke-tauke untuk mendapatkan wang mudah. Akhirnya tanah yang bertaraf rizab Melayu berpindah hak milik apabila gagal menjelaskan hutang.

“Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Jawapannya mudah, wujudnya watak-watak Kitol dalam kerajaan yang menjadi tali barut.,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zolkafly turut bersependapat dengan pandangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib semalam yang menyatakan sistem pinjaman yang menggantikan skim bantuan akan melumpuhkan aktiviti pekebun kecil dan melonjakkan keuntungan kepada syarikat-syarikat besar yang mempunyai modal dan nilai saham yang tinggi di bursa saham tempatan dan luar negara.

Secara tidak langsung kata Khusairi, ia akan memberi kesan yang besar kepada pekebun-pekebun kecil Melayu dan Bumiputera, orang Asli dan Peribumi di Sabah dan Sarawak serta tidak terkecuali kaum Cina dan India.

Mengikut kenyataan media Kementerian Industri Utama bertarikh 29 Julai 2019, wujud dua jenis skim pinjaman untuk tanam semula sawit iaitu Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit dengan dana sejumlah RM500 juta dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit dengan dana hanya RM50 juta.

Skim pertama dengan dana RM500 juta hanya untuk tujuh ke sepuluh ribu pekebun yang keluasan tanah berjumlah 50 ribu hektar.

Skim kedua dengan dana RM50 juta hanya untuk tiga ke lima ribu peserta sahaja yang mempunyai keluasan tanah 20 ribu hektar.

“Nilai pinjaman juga lebih rendah daripada skim bantuan oleh kerajaan terdahulu. Sekarang nilainya RM2,500 sehektar berbanding RM7,000 sehektar di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Dahulu sistem tanam semula dengan cara yang sama membabit Felda, Felcra dan Risda. Kita tak tahu lagi apa pula nasib yang bakal diterima oleh pekebun getah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zolkafly turut berkata pekebun sawit yang telah menanam semula sebelum 2019 amat bertuah kerana mendapat bantuan kerajaan BN.

“Kepada pekebun yang pokok sawit sudah mencecah usia 25 tahun dan bercadang untuk menanam semula amatlah kecewa dengan sistem pinjaman yang dikatakan lebih efektif dan selaras dengan usaha untuk mengukuhkan komoditi sawit dan memartabatkan industri sawit di mata dunia.

“Tan Sri Shahril Abdul Samad mantan Pengerusi Felda berasa kesal dengan kenyataan menteri tersebut kerana satu demi satu hak keistimewaan yang dinikmati oleh masyarakat desa dihapuskan,” katanya.

Justeru itu, Zolkafly yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput menyeru rakyat khususnya pekebun-pekebun kecil sedar bahawa PH tidak mampu membela kebajikan rakyat.

“Ayuhlah wahai pekebun kecil sawit. Bangkitlah dan sedarlah bahawa kerajaan PH hari ini tidak mampu membela nasib rakyat seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

“Tidak hairanlah hari ini ke mana saja kita pergi rakyat tidak sabar untuk menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk menumbangkan kerajaan pakatan ‘hancing’ penipu rakyat,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.