Enggan Beri Bantuan, PH Mahu Membunuh Aktiviti Ekonomi Pekebun Kecil – Khusairi


TANJUNG MALIM, 6 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berniat jahat enggan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun-pekebun kecil sawit di seluruh negara.

Tegasnya, pembatalan skim yang diperkenalkan sejak zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu dilihat bertujuan untuk melumpuhkan aktiviti penanaman sawit di kalangan pekebun-pekebun kecil dan melonjakkan keuntungan kepada syarikat-syarikat besar.

“Dalam erti kata lain, kementerian berkenaan mahu membunuh aktiviti ekonomi pekebun kecil sawit. Rata-rata pekebun kecil ini adalah Bumiputera, terdiri daripada Melayu, Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak. Sebilangan kecilnya pula terdiri daripada kaum Cina dan India yang berpendapatan rendah.

“Sebelum ini kerajaan BN melalui Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK), menyediakan peruntukan khas bantuan kewangan kepada pekebun-pekebun kecil sawit, iaitu RM7,000 bagi setiap hektar untuk tujuan menanam semula pokok yang sudah tua dan tidak produktif,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok semalam bahawa skim tersebut tidak akan dilaksanakan kembali kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak dan tidak membabitkan semua pihak termasuk pekebun tersusun Felda dan Felcra.

Mengulas lanjut, Khusairi menyatakan kebimbangan pembatalan bantuan tanam semula oleh kerajaan PH itu sudah pasti akan memberi kesan terhadap keluasan tanaman sawit oleh pekebun-pekebun kecil dan akan menurunkan kapasiti bekalan bahan mentah itu di pasaran.

“Majoriti besar pekebun kecil tidak akan mampu mengeluarkan modal sendiri bagi membiayai kos penanaman semula.

“Apabila penawaran bekalan sawit berkurangan, harga komoditi itu dijangka meningkat, namun ianya hanya menguntungkan syarikat-syarikat yang mempunyai ladang dan modal besar.

“Kebanyakan syarikat ini berdaftar di bursa saham dan pemegang sahamnya majoriti bukan Bumiputera,” tegasnya lagi.

Justeru bidasnya, alasan menteri tidak masuk akal kononnya mahu mewujudkan keadilan kepada pekebun-pekebun lain terutamanya dari Felda dan Felcra.

“Kedua-dua agensi itu sudah ada kaedahnya sendiri bagi menampung kos penanaman semula. Namun pekebun-pekebun kecil telah sejak sekian lama bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Tujuan kerajaan terdahulu memberi bantuan tanam semula kepada pekebun kecil adalah untuk memastikan bekalan sawit dan getah tidak hanya dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar, membantu bagi menjanakan kewangan golongan berpendapatan rendah, mengelakkan tanah terbiar dan bagi memastikan bekalan sawit dan getah tidak berkurangan atau terputus.

“Tanpa bantuan kerajaan, berkemungkinan aktiviti memajak tanah kembali berleluasa yang akan hanya memberi pulangan kecil kepada pekebun-pekebun kecil,” katanya.

Sehubungan itu, Khusairi mendesak kerajaan PH supaya melaksanakan semula skim bantuan tanam semula demi memastikan pekebun-pekebun kecil tidak dinafikan hak mereka daripada turut menikmati kek ekonomi di negara ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.