PH Perlu Bertindak, Hentikan Kempen Anti Jawi – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mempersoalkan apa agenda Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) mengajak diadakan perhimpunan bagi membantah pengenalan khat Jawi di dalam buku teks Bahasa Malaysia?

Katanya, apa saja pendidikan berkaitan Melayu ada saja tidak kena baginya.

“Apakah muslihat sebenar Dong Zong dan Jiao Zong mengajak diadakan perhimpunan bagi membantah pengenalan khat Jawi di dalam buku teks Bahasa Malaysia?

“Bukankah tulisan Jawi ini baik untuk dipelajari oleh semua bangsa sebagaimana tulisan Cina juga dipelajari kaum lain termasuk Melayu ?

“Kempen Anti-Jawi ini seolah menjolok sarang tebuan dan kenapa suka sangat menimbulkan kemarahan orang Melayu dan umat Islam?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, sejak merdeka, Kerajaan BN sentiasa membendung supaya isu-isu mengugat keharmonian kaum sebegini tidak berlaku.

“Malangnya dalam era Malaysia Baru, ia seolah dibiarkan. Jadi benar ia akan diadakan, kita minta agar Kerajaan PH segera mengeluarkan arahan supaya himpunan itu dibatalkan.

“Majoriti Rakyat Malaysia ingin hidup harmoni. Hentikan melakukan perkara yang boleh mengundang suasana tidak baik kepada rakyat negara ini.”

Tegas beliau, apa yang rakyat mahu ialah peluang ekonomi yang bertambah dan kos sara hidup terkawal, bukannya tindakan sentimen provokasi seperti ini.

“Kita harap sementara Kerajaan PH boleh bertolak ansur dalam isu sekolah aliran Cina dengan pelbagai bantuan diberikan, keadilan yang sama wajar diberi kepada pengenalan Khat Jawi bagi menggalakkan pelajar kembali menguasai Jawi.

“Jadi kita mahu usaha memertabatkan tulisan Jawi inji diteruskan. Ia baik untuk semua.”

Ujarnya, Dong Zong dan Jiao Zong wajar diberi kefahaman jelas oleh pihak berwajib, bahawa menanam minat pelajar menguasai tulisan Jawi bukan isu agama.

“Kita tidak mahu sekiranya tindakan provokasi seumpama ini dibuat, akan berlaku pula tindak balas dari pihak lain? Sudah tentu ia tidak akan berkesudahan.

“Justeru, kita berharap Kerajaan PH, segera bertindak menghentikannya. Sikap berdiam diri Kerajaan PH, akan lebih memburukkan keadaan dan meletakkan keharmonian rakyat Malaysia umpama berada dalam satu “bom jangka’,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.