Bantah Tulisan Jawi, Dong Zong Dan Jiao Zong Dangkal – DMJ

JOHOR BAHRU 1 Ogos – Tindakan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat adalah dangkal.

Dewan Muda Johor (DMJ) menerusi satu kenyataan berkata, mereka berpendapat, tindakan Dong Zong dan Jiao Zong dalam perkara itu juga beremosi dan membantah dengan tidak berfakta.

Menurut DMJ, pengenalan tulisan jawi adalah selaras dengan saranan yang pernah dikemukakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya tulisan jawi itu terus dipertahankan dan terus hidup serta tidak pupus kerana ia merupakan satu perjuangan dan khazanah bangsa.

“Selain itu, Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong pernah menyatakan bahawa pengajaran Bahasa Melayu boleh dikatakan tidak lengkap jika tidak dimasukkan komponen tulisan jawi.

“Beliau juga pernah menyatakan bahawa orang bukan Melayu tidak perlu takut dengan tulisan jawi kerana ia hanya satu tulisan yang menjadi pelengkap kepada Bahasa Melayu dan bukan untuk menyebarkan agama Islam,” menurut kenyataan DMJ hari ini.

Pada masa sama, DMJ berpendapat tindakan kerajaan untuk memperkenalkan tulisan jawi dan seni khat sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat adalah cadangan yang bernas dan tepat pada masanya.

Justeru, DMJ berharap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dapat mempertahankan usaha untuk memasukan tulisan jawi dan seni khat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu sekali gus tidak membuat sebarang u-turn hanya disebabkan bantahan Dong Zong dan Jiao Zong.

“Pemegang taruh atau pelopor kepada tulisan jawi dan seni khat juga boleh mengambil pendekatan untuk memberikan penerangan kepada kedua-dua persatuan tersebut akan kepentingan tulisan jawi dan seni khat kepada sukatan Bahasa Melayu,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.