Kerajaan Gagal: PH Tidak Boleh Membawa ‘Harapan’ Malaysia – Annuar

SEPANG, 29 Julai – Setiausaha Agung UMNO Malaysia Tan Sri Annuar Musa berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak lagi boleh membawa ‘harapan’ bagi Malaysia kerana mereka sudah terbukti sebagai sebuah parti yang gagal.

Justeru jelas beliau, UMNO dan PAS mesti mengambil tanggungjawab bagi mengurus negara ini menjadi lebih baik.

“PH telah terbukti sebuah parti yang gagal. Ini sudah tidak perlu diragui lagi. Rakyat sudah pun membuat penilaian dan sudah buat keputusan bahawa PH adalah sebuah kerajaan yang gagal. Bukan sahaja gagal dari segi menunai janji tetapi gagal mengurus dan mengangkat negara kepada kedudukan yang lebih baik, baik dari segi pertumbuhan ekonomi, nilai mata wang, kestabilan hatta politik itu sendiri PH gagal.

“PH tidak boleh lagi membawa harapan bagi Malaysia sebab itu UMNO dan PAS mesti mengambil tanggungjawab ini kerana kita adalah parti tertua… paling lama, parti yang telah terlibat bagaimana menguruskan kemerdekaan, bagaimana menguruskan sebuah negara yang bermasyarakat majmuk.

“Jadi, kita yakin UMNO dan PAS boleh menampilkan formula dan gagasan yang lebih baik bagi seluruh rakyat,” ujar beliau kepada UMNO-Online selepas berucap dalam program ceramah perdana yang bertajuk ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, malam tadi.

Dalam ucapannya Annuar berkata, kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu telah membawa satu hikmah yang besar iaitu penyatuan antara UMNO dan PAS.

“Kita terima kekalahan sebagai ujian Allah, barangkali ada hikmah lebih besar. Allah nak ingatkan kita kerana kita berpolitik hingga lupa politik itu adalah kerangka ibadah dan harus dipandu berpandukan apa yang ada dalam Al-Quran dan hadis.

“Kita terlupa sehingga hanya nampak permainan kuasa sehinggakan persengketaan antara UMNO dan PAS tidak ada cara untuk dipulihkan. Akhirnya kerana tiada keupayaan untuk UMNO dan PAS bersatu maka Allah tolong. Tolong yang bagaimana? Allah bagi kalah,” terang beliau.

Mengulas berkaitan penyatuan UMNO dan PAS jelas Annuar, UMNO menerima PAS bukan kerana disuruh oleh sesiapa tetapi adalah kerana perintah Allah.

“Kenapa kita bergabung? Bukan kerana disuruh oleh Zahid (Datuk Seri Zahid Hamidi) atau disuruh oleh Najib (Datuk Seri Najib Razak) tetapi adalah kerana perintah Allah. Kita tidak mahu terus duduk dalam keadaan sombong.

“Kita terima kesalahan, kelemahan dan kesilapan kita… kita berpegang teguh pada tali Allah untuk jangan lagi berpecah-belah. Ini (penyatuan) bukan agenda UMNO dan PAS… ini adalah agenda ummah, agenda orang Islam Melayu dengan mengambil kira kebertanggungjawaban kita kepada sahabat bukan Melayu. Kita ambil tanggungjawab membela Islam dan bukan Islam,” terangnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.