Piagam UMNO-PAS Kukuhkan Lagi Kerjasama Parti, Beri Manfaat Kepada Seluruh Rakyat

 

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Hasan Abdul Rahman percaya piagam kerjasama antara UMNO dan PAS yang akan ditandatangani pada September nanti bakal mengukuhkan lagi kerjasama politik antara kedua-dua parti terbabit.

Pada masa yang sama beliau turut berpandangan dengan rakan-rakan lain di dalam Barisan Nasional (BN) tentunya kerjasama itu akan dapat melipatgandakan lagi keyakinan masyarakat apatah lagi dengan ‘track record’ parti yang sebelum ini menjadi tunjang kepada pemerintahan negara.

“Piagam kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia sebenarnya. Ini bukan bermakna kita ingin menekan bangsa dan kaum lain di negara ini bahkan selama ini telah terbukti tolerannya Melayu sehingga kita mampu berkongsi kuasa.

“Pada masa yang sama kita juga turut memikirkan hak-hak kaum lain di negara ini tanpa meminggirkan hak istimewa orang Melayu. Kita akan pastikan kaum-kaum lain di negara ini akan sentiasa diberi pembelaan seperti yang telah kita lalui sebelum ini sejak UMNO menjadi tulang pemerintahan menerusi BN,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu, UMNO-PAS telah mengeluarkan kenyataan bersama yang diwakili oleh Setiausaha Agung parti masing-masing, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan yang memaklumkan bahawa kedua-dua parti telah memuktamadkan dan akan memeteraikan satu piagam bersama dan satu memorandum persefahaman yang telah siap digubal oleh satu jawatankuasa bersama yang diwujudkan sebelum ini.

Kedua-dua parti telah bersetuju untuk mengadakan satu Majlis Menandatangani Piagam pada 14 September depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC).

Piagam ini akan ditandatangani sendiri oleh presiden kedua-dua parti dan majlis bersejarah ini akan dihadiri oleh semua pemimpin UMNO dan PAS dari seluruh negara

Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai seterusnya menambah tidak ada formula lain melainkan perpaduan dengan penuh keikhlasan antara satu dengan yang lain dan ianya merupakan anugerah Allah swt.

“Saya merayu kepada ahli UMNO bahagian Jasin serta rakyat di luar sana untuk kita eratkan ukhuwah kita dan ketepikan perkara remeh-temeh, kita bersama dengan PAS dan rakan-rakan lain wujudkan ukhuwah yang betul-betul ikhlas dan jelas supaya akhirnya nanti kita dapat bersama-sama mengembling tenaga untuk merampas kembali kuasa dan menjadi pemerintah.

“Terima kasih kepada barisan kepimpinan tertinggi yang dilihat merupakan satu pasukan yang kuat sekarang ini serta mentadbir dan memimpin UMNO, seterusnya memberi keyakinan kepada kita di bahagian Jasin.

“Pada satu hari nanti insya-Allah ada sinar di hujung terowong dan percaya sinar ini nanti yang akan menerangkan usaha yang kita buat dan harap kita semua bersabar. Percayalah… kepimpinan tertinggi ada jalan yang dirintis untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” tambahnya lagi.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.