Belot Janji: Ke Mana Hala Tuju PTPTN Selepas Setahun PH Memerintah?


KUALA LUMPUR, 12 Julai – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fariz Hadi berpandangan setelah setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah negara hinggalah ke hari ini, tiada halatuju yang jelas dan peningkatan apatah lagi pembaharuan yang mampu membawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke arah yang lebih dinamik bagi mendepani masa depan.

Katanya, sudah sampai masanya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menilai semula pimpinan kementerian dan agensi yang gagal mengurus tadbir dengan baik serta tidak mampu mencipta dasar baharu bagi membuat pembaharuan yang positif apatah lagi memberikan kebaikan kepada agensi seperti PTPTN dan juga kelebihan kepada rakyat.

“Rakyat maklum dan sudah menerima kegagalan PH dalam menunaikan manifesto. Janji pendidikan percuma hanya tinggal janji dan mimpi. Angan-angan Mat Jenin peminjam PTPTN yang kononnya hutang akan dihapuskan oleh kerajaan PH kini segalanya telah musnah.

“Sudah pasti peminjam PTPTN dan bakal peminjam akan menghukum kerajaan PH yang menabur janji palsu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang kini terbukti belot dan khianat kepada kepercayaan dan amanah rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, sementara menunggu PRU15, tidak perlu kerajaan untuk terus membazirkan duit rakyat bagi menanggung gaji dan elaun pimpinan PH di kalangan menteri dan yang mendapat lantikan politik malah jawatan tinggi menerajui pelbagai agensi.

“Tidak layak sebenarnya mereka menjawat jawatan tinggi, diberi habuan dengan gaji lumayan tapi tidak langsung diterjemahkan dengan membawa hasil dan kebaikan kepada rakyat dan juga negara.

“Kepada Tun Mahathir dan pemimpin PH. Cukup-cukuplah memperbodohkan rakyat. Tak berkat hasil dan kekayaan negara yang anda semua kaut untuk kepentingan diri dan keluarga tetapi tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab sewajarnya,” tegasnya lagi.

Fariz turut menimbulkan kegusaran sekiranya keadaan tersebut dibiarkan terus berlaku.

“Sampai bila kerosakan ini terus dibiarkan? Rakyat mungkin tersalah pilih semasa PRU14. Tetapi jangan dibiarkan negara terjerumus dalam kekalutan.

“Buat pimpinan PH, letaklah jawatan secara terhormat.

“Jika sayangkan negara, mohon Tun Mahathir bubarkan parlimen segera dan biarlah rakyat memilih semula pemimpin mana yang selama ini terbukti telah mentadbir negara dengan cemerlang, yang mana rakyat telah merasai hasilnya bertahun lamanya. Cukup-cukuplah PH,” katanya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.