Ikon Felda Perlu Lebih Peka, Fahami Pengorbanan Peneroka Bantu Jana Ekonomi Negara
KULIM, 10 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kulim Bandar Bharu, Nuraini Yusof membidas kenyataan ikon Felda 2019 Datuk Redzuawan Ismail iaitu Chef selebriti yang lebih dikenali sebagai Chef Wan ekoran dilihat menghina peneroka dan anak-anak Felda.
Jelas beliau, sebagai ikon Felda seharusnya beliau lebih peka dan memahami pengorbanan para peneroka dalam membantu menjana ekonomi negara.
“Soal peneroka dan anak-anak Felda sebenarnya cukup dekat di hati saya kerana saya sendiri anak peneroka, membesar di Gelda Gunung Bongsu, belajar di Tabika KEMAS dan di S.K. Gunung Bongsu seterusnya barulah keluar belajar di asrama di luar Felda.
“Ramai lagi belia dan anak-anak Felda yang berjaya. Takkanlah tidak ada seorang pun layak diangkat menjadi ikon? Agaknya apa kriteria seorang ikon yang mahu dan sesuai ditonjolkan?
“Saya secara peribadi lebih berminat mengenali sekiranya ada belia atau anak peneroka yang masih tinggal di Felda, berjaya menguruskan ladang dengan baik mungkin dengan method perladangan baru atau belia yang mengusahakan projek pertanian, perladangan, ternakan atau perniagaan di Felda sendiri yang boleh membantu menjana ekonomi belia dan peneroka setempat dalam keadaan ekonomi dan harga sawit serta getah yang tak menentu. Mereka inilah yang lebih layak diangkat menjadi ikon,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Nuraini, seorang ikon Felda seharusnya mempunyai jasa dalam Felda dan bukannya hanya meluangkan masa bersama belia Felda setelah terpilih menjadi ikon dan kemudiannya mengguris hati warga Felda dengan kenyataan yang pedas.
“Adakah beliau lupa bagaimana keluarganya sendiri bersusah payah meneroka tanah untuk mengubah nasib hidup membesarkan anak-anak. Janganlah bila sudah berjaya dan kaya, segala jasa peneroka ‘dipijak’.
“Jangan lupa tanpa peluh peneroka, ekonomi negara juga akan terjejas,” bidas beliau lagi.
Chef Wan menerusi status dalam akauan Instagram miliknya dilapor telah menyifatkan golongan peneroka Felda bukan sahaja malas bekerja untuk memajukan tanah Felda, sebaliknya hanya berharap sepenuhnya kepada bantuan yang diberikan kerajaan.
Sambil menyamakan golongan berkenaan seperti kucing, Chef Wan berkata, golongan itu juga enggan untuk membantu diri sendiri ke arah yang lebih baik.
Sebelum itu, Chef Wan dipilih menerima Anugerah Ikon Felda yang disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3, Rompin, Pahang. – MediaUMNO