Siasat Dakwaan 3 Kilang Kimia Milik Suami Bee Yin – DMJ

JOHOR BAHRU, 4 Julai – Dewan Muda Johor (DMJ) gesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan lanjut terhadap dakwaan berkenaan suami Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memiliki tiga kilang kimia di Pasir gudang.

DMJ dalam satu kenyataan pada hari ini mahukan siasatan dilakukan jika terbukti terdapat unsur-unsur penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pihak.

“DMJ tidak dapat mengesahkan kesahihan berita tersebut. Ini kerana sehingga kini pihak berkuasa dan agensi-agensi yang terlibat seperti Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Kementerian Kesihatan masih tidak dapat mengesan kilang kimia yang menjadi punca kepada pencemaran udara di Pasir Gudang walaupun setelah hampir dua minggu berlalu.

“DMJ juga kecewa dengan jawapan dan respon diberikan Bee Yin pada sekitar pukul 7 petang di Facebook rasmi beliau semalam yang menyatakan bahawa kenyataan portal-portal berita tersebut (suaminya memiliki tiga kilang kimia di Pasir Gudang) adalah jijik dan keji serta penghinaan kepada beratus pegawai kerajaan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

DMJ percaya Bee Yin mengunakan teknik mengalihkan isu dengan tidak menjawab kepada persoalan pokok iaitu sama ada benar atau tidak tiga buah kilang IOI di Pasir Gudang tersebut adalah milik keluarga suami beliau.

“Jika jawapannya ya, maka secara tidak langsung mewujudkan konflik kepentingan terhadap Bee Yin atas alasan hubungan kekeluargaan dan dikhuatiri akan menganggu dan mempengaruhi siasatan pihak berkuasa dan agensi kerajaan memandangkan Kementerian yang diketuai beliau merupakan kementerian yang bertanggungjawab dalam isu ini,” jelas kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, DMJ tidak pernah menafikan segala usaha keras dan titik peluh anggota-anggota pihak berkuasa dan agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu sepanjang pencemaran berlaku sejak daripada kes di Sungai Kim Kim lagi.

Namun apa ingin dipertikaikan adalah kes itu telah berlanjutan dan berulang sehingga tiga kali dan tindakan pihak kementerian terutama menteri yang tidak tetap pendirian dalam membuat keputusan berkenaan kes tersebut telah menaikan kemarahan rakyat.

Hal ini bertambah serius dengan dapatan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Ir. Dr Zulkifli Abdul Rashid yang memaklumkan bahawa gas akrilonitril ditemukan di kawasan Pasir Gudang mempunyai sifat karsinogenik yang mampu mengakibatkan kanser jika seseorang terdedah kepadanya setiap hari atau terlalu lama.

DMJ berharap agar siasatan dapat dilakukan oleh pihak polis dan SPRM jika sememangnya terdapat konflik kepentingan, maka pihaknya mendesak agar Bee Yin direhatkan sehingga kes ini selesai. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.