Kembalinya Presiden Mampu Lonjak Momentum Kepercayaan Rakyat

SHAH ALAM, 2 Julai – Kembalinya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden akan membawa formula baru kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Selangor, Datuk Rosni Sohar yakin bahawa kembalinya Presiden dalam menerajui parti akan melonjak momentum kepercayaan rakyat kepada UMNO dan BN di saat pelbagai isu dan kemelut yang timbul dari pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya mewakili ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO Negeri Selangor menyatakan sokongan dan meletakkan kepercayaan di atas kepimpinan Presiden UMNO, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan beliau kembali bertugas sebagai Presiden Parti baru-baru ini.”

Di samping itu, katanya, Wanita Selangor juga yakin Presiden Parti dapat mengemudi UMNO dengan baik bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memangku tugas beliau dengan baik sebelum ini serta barisan kepimpinan tertinggi parti yang lain dalam memastikan kedudukan UMNO terus kukuh.

“Sokongan dan kepercayaan penuh diberikan oleh ahli kepada Presiden Parti ini diharap dapat diterjemah untuk menjadikan UMNO satu parti yang kuat dan kukuh bersepadu dengan rakan parti komponen Barisan Nasional dan juga sahabat penyatuan ummah parti PAS dalam persiapan menuju PRU-15 nanti,” katanya lagi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk telah mengumumkan untuk kembali aktif memimpin parti selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini.

Pengumuman tersebut telah dibuat pada satu Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datok, Perak sempena setahun beliau dipilih sebagai presiden parti itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.