Jangan Hilang Fokus, Perkasakan UMNO Dengan Agenda Perpaduan Ummah

BANGI, 2 Julai – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Afif Farhi Othman menyeru semua ahli parti bersama-sama memberikan sokongan kepada Presiden dan Timbalan Presiden serta seluruh kepimpinan tertinggi di dalam meneruskan agenda memperkasakan UMNO.

Jelasnya, fokus kini ialah untuk memastikan perpaduan ummah antara UMNO dan PAS dapat direalisasikan tanpa mengenepikan peranan parti-parti komponen yang ada di dalam Barisan Nasional (BN) mahupun Gagasan Sejahtera.

“Di saat UMNO sedang membina kekuatan, sudah pasti akan datang ujian dan dugaan. Tidak kurang fitnah dan tohmahan yang mampu melemahkan kekuatan jemaah kita.

“Besarlah harapan agar setiap dari kita ‘bertabayyun’ di dalam menerima berita atau perkara yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Bersama kita pastikan imej parti dan kepimpinan UMNO diyakini rakyat dalam usaha meraih kembali sokongan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya lagi, sudah tiba masanya untuk pendukung parti serlahkan kepada rakyat bahawa UMNO adalah harapan sebenar mereka.

“Terlalu banyak janji yang kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal penuhi, kerakusan mereka merebut ‘ghanimah’ tidak dapat dibendung lagi.

“Krisis kepimpinan, moral dan pergolakan dalaman yang kronik serta semakin menjadi-jadi. Kebajikan rakyat tidak diambil peduli,” tambahnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Afif berkata sebagai ahli yang cintakan parti dan bersetia dalam jemaah UMNO sudah pasti menerima kepulangan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali berkhidmat bagi memperkukuhkan institusi UMNO.

“Keputusan untuk bercuti merupakan hak Presiden, bahkan keputusan untuk kembali juga adalah kuasa prerogatif yang beliau ada selaras dengan perlembagaan parti.

“Hormatilah keputusan Presiden dan bersamalah kita memberikan sokongan demi mengembalikan kekuatan UMNO,” ujarnya.

Sehubungan itu juga, setinggi penghargaan dizahirkan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan atas kecemerlangan beliau sepanjang memangku tugas-tugas Presiden, tambahnya lagi.

“Kemenangan tiga kali pilihan raya kecil (PRK) di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau sudah pasti membawa imej yang amat positif kepada parti.

“Keterbukaan beliau menyambut kepulangan Presiden menjadi contoh tauladan betapa hormatnya beliau terhadap organisasi,” katanya.

Justeru itu juga Afif menyeru semua pendukung parti merapatkan saf.

“Selarikan tumit. Bahu ke bahu. Berniatlah kita untuk menjayakan agenda perpaduan ummah.

“Yakinlah dan jangan goyah. Kerana setelah takbir diangkat, kita menuju pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dengan gagah. Insya-Allah,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.