Gandingan Zahid-Tok Mat Pemacu Parti Ke Mercu Kejayaan – UMNO Terengganu

KUALA LUMPUR, 2 Julai – UMNO Terengganu menyambut baik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali bertugas sebagai Presiden untuk bersama memperkukuhkan parti dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta percaya gandingan tersebut boleh memacu parti ke mercu kejayaan.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said, ini berdasarkan keyakinan bahawa kepimpinan parti mempunyai misi dan perancangan dalam UMNO untuk mengambil alih kuasa dari Pakatan Harapan (PH) yang gagal memenuhi janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

“Saya mengalu-alukan Datuk Seri Zahid Hamidi kembali bertugas sebagai Presiden UMNO kerana hak beliau untuk kembali berkhidmat dan memimpin parti dalam menghadapi PRU akan datang.

“Kita berkeyakinan cukup tinggi (untuk menang) sekarang ini dan tidak mustahil PRU akan diadakan dalam masa terdekat,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Berhubung dengan kes yang dihadapi oleh Ahmad Zahid, Ahmad berpendapat ia adalah isu peribadi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dan masih dalam peringkat sebutan serta masih belum dibuktikan bersalah oleh Mahkamah.

“Dari prinsip perundangan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan atau disabit oleh mahkamah,” tegasnya.

Dalam hantaran di media sosialnya itu juga, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal itu menyatakan komitmen berhubung agenda kerjasama politik dengan PAS.

“Kita di peringkat negeri Terengganu memang bersedia untuk bekerjasama dengan PAS sebagaimana yang ditentukan oleh pucuk pimpinan.

“Kerjasama di peringkat negeri juga memerlukan beberapa perkara yang perlu diperhalusi secara lebih teliti sebelum sebarang tindakan dibuat demi kepentingan bersama bagi menjamin kemenangan dalam PRU-15 nanti.

“Setakat ini hanya ada perbincangan awal antara UMNO dengan PAS di peringkat pusat dan satu jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil kedua-dua parti telah dibentuk. Selepas keputusan jawatankuasa itu dimuktamadkan kemudian jawatankuasa akan ke peringkat negeri dan seterusnya peringkat bahagian,” jelas Ahmad. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.