Pemimpin UMNO Sambut Baik Pengumuman Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas sebagai Presiden UMNO menerima reaksi positif daripada pemimpin parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan ‘kepulangan’ Ahmad Zahid sebagai Presiden akan memperkukuh saf kepemimpinan parti itu.

“Berkumpul semula. Saf UMNO diperkukuhkan. Beliau pastinya akan terus bekerja sebagai satu pasukan dibantu Timbalan dan Naib-naib Presiden serta Ahli Majlis Tertinggi,” katanya melalui akaun Twitter miliknya malam tadi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula mengingatkan bahawa Ahmad Zahid adalah Presiden yang dipilih secara sah oleh perwakilan, maka beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Mengenai segala tuduhan, serah kepada mahkamah. Masih tak salah dan mesti dibicara dengan adil,” katanya.

Dalam pada itu, Badan Perhubungan UMNO Kelantan melihat, kembalinya Ahmad Zahid sebagai Presiden akan menggiatkan usaha penyatuan dan kerjasama parti itu bersama Pas.

Pengerusinya, Datuk Wira Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kerjasama UMNO dan Pas yang lebih giat diyakini akan berjaya menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

“UMNO Kelantan yakin dengan sokongan dan kerjasama dalam kalangan pemimpin di semua peringkat dan ahli parti, UMNO akan menjadi parti yang kuat dan mendapat kepercayaan rakyat dan pengundi terbanyak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.