Keputusan Ahmad Zahid Kembali Bertugas Adalah Mandat Dari Perwakilan – Saarani

IPOH, 1 Julai – Keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas bermula pada hari ini adalah selaras dengan mandat yang diberikan oleh perwakilan di peringkat akar umbi kepada beliau sebagai presiden parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya menerima keputusan Ahmad Zahid itu, justeru semua ahli parti terutamanya kepemimpinan di setiap peringkat, hendaklah menghormati serta memberikan sokongan kepada beliau.

“UMNO Perak turut yakin keputusan Ahmad Zahid ini akan membawa kekuatan baharu kepada parti terutamanya pada saat UMNO dan Pas sedang rancak menjayakan agenda penyatuan ummah di mana beliau sendiri adalah antara yang pertama merintis jalan ke arah kerjasama dua parti terbesar Melayu itu.

“Oleh itu, UMNO Perak yakin dengan sokongan dan kerjasama dalam kalangan pemimpin di semua peringkat dan ahli parti, UMNO akan kembali menjadi parti yang kuat dan berpengaruh bagi meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, UMNO Perak akan terus bekerja keras bersama Ahmad Zahid serta pucuk pimpinan dalam usaha menguatkan parti sekali gus menawan kembali Perak daripada Pakatan Harapan. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.