Keputusan Ahmad Zahid Akan Kukuhkan Saf Kepimpinan

ALOR SETAR, 1 Julai – Keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugas selaku Presiden UMNO akan memperkukuhkan lagi saf kepimpinan parti itu bagi membentuk sebuah gagasan pembangkang yang berkeupayaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan bahawa parti itu harus bersatu-padu dan saling bergandingan dalam menghadapi Pakatan Harapan (PH).

Kata beliau, keputusan Ahmad Zahid itu juga menamatkan spekulasi dan persoalan tentang tarikh bila Presiden akan kembali bertugas bersama saf kepimpinan parti orang Melayu terbesar itu.

“Kita mampu menghadapi segala cabaran jika bersatu-padu di dalam saf parti. Apatah lagi dalam landskap politik semasa serta pelbagai isu dan kekalutan dalaman dan luaran kerajaan, memungkinkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin dekat.

“Saya ingin menasihatkan supaya marilah ahli-ahli UMNO merapatkan ukhuwah dan silaturahim sempena minggu terakhir Syawal ini dan setelah genap setahun parti mengadakan pemilihan bagi sesi 2018-2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan beliau akan kembali aktif memimpin UMNO selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membuat pengumuman tersebut pada satu Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datuk, Perak, sempena setahun beliau dipilih sebagai Presiden UMNO.

Pengumuman itu menerima reaksi positif daripada pemimpin parti termasuklah Timbalan Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Mohamad Hassan yang berkata, dengan kembalinya Ahmad Zahid ia akan menutup pengadu-domba, selain UMNO perlu diuruskan bersama. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.