Wanita UMNO Nyatakan Sokongan Tidak Berbelah Bahagi Kepada Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Pergerakan Wanita UMNO menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah.

Ketua Wanitanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, bagi pihaknya, Ahmad Zahid mempunyai hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan.

Hak-hak ini, katanya, adalah selaras dengan prinsip asas undang-undang jenayah iaitu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

“Prinsip ini menjadi teras kepada sistem keadilan di seluruh dunia dan ia mesti terus disuburkan. Tidak kira sebesar mana pun kesalahan yang dituduh, seseorang itu perlu diberi ruang membela diri di mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid berdepan dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan akan berdepan dengan 33 lagi pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Ini menjadikan jumlah pertuduhan baharu yang dihadapi Presiden UMNO itu sebanyak 40 pertuduhan berjumlah lebih RM47 juta selepas tujuh pertuduhan dikemukakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya menjelaskan kesemua pertuduhan hari ini melibatkan S$4.2 juta.

Dalam pada itu, tambah Noraini, prinsip undang-undang ini terpakai kepada setiap warganegara dan selaku bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid wajar diberi peluang untuk membuktikan beliau tidak bersalah melalui saluran undang-undang. – UtusanOnline