Permainan Dap Burukkan Tabung Haji

KOTA BHARU, 26 Jun – Rakyat harus sedar dengan permainan Dap untuk memberikan imej buruk kepada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang menjadi aset utama orang Islam dengan membuat pelbagai propaganda termasuk menggunakan kursus perdana haji.

Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda negeri, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, selepas itu lebih mudah untuk mereka tidak lagi memberi subsidi ibadat haji kepada rakyat dengan alasan aset tabung haji telah mengalami kerugiaan.

Beliau berkata, ini jelas apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membuat kenyataan kononnya syarikat pelaburan Tabung Haji mengalami kerugian dan perlu diselamatkan.


“Walhal ini adalah satu strategi licik DAP untuk menakutkan para pelabur dengan mengeluarkan deposit simpanan mereka, maka penjualan aset-aset penting Tabung Haji kepada kroni mereka dapat dibuat dengan harga yang murah dari pasaran.

“Jelas dan nyatalah sekarang, ini agenda DAP untuk memburukkan perihal ibadat haji di mata masyarakat dengan penyebaran risalah propaganda yang penuh dengan penipuan kepada bakal-bakal haji,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof didesak tidak menggunakan Kursus Perdana Haji sebagai medan propaganda politik bagi menghasut bakal jemaah supaya membenci kerajaan dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang lalu.

Ingatan itu disampaikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang turut mencabar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Tabung Haji.

Noor Hariri berkata, jelas dan nyata sekarang, ini agenda DAP untuk memburukkan perihal ibadat haji di mata masyarakat dengan penyebaran risalah propaganda yang penuh dengan penipuan kepada bakal-bakal haji.

“Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan bersetuju dengan kenyataan daripada Dr Asyraf Wajdi bahawa kursus Haji Perdana tidak harus dijadikan medan untuk propaganda politik murahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.