DMJ Cadang PH Reformasi DUN Johor

JOHOR BAHRU, 26 Jun – Dewan Muda Johor (DMJ) mencadangkan supaya kerajaan negeri melaksanakan reformasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sekali gus menjadi bukti komitmen Pakatan Harapan (PH) untuk mengukuhkan fungsi institusi DUN yang lebih telus, diyakini dan mencerminkan kehendak rakyat.

Menurut DMJ, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan kerajaan negeri adalah melantik wakil pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) sebagai semak dan imbang kepada pengurusan serta perbelanjaan kerajaan, satu reformasi yang dijanjikan PH di dalam manifesto mereka.

“Selepas PH menang di Johor, kerajaan negeri telah melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dap sebagai Pengerusi PAC, bagaimanapun, jawatan itu kini kosong selepas beliau dilantik sebagai Exco. Jadi, sudah tiba masa PH memenuhi janji serta mengikut teladan Parlimen Malaysia yang melantik wakil pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) sebagai Pengerusi PAC.

“Selain itu, DMJ turut mencadangkan diwujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas (SC) DUN seperti di peringkat parlimen sekali gus perlu diteladani DUN Johor dan buat permulaan, dua Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan iaitu Bajet dan Menimbang Rang Undang-Undang,” menurut DMJ dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah DMJ, semasa pembentangan Belanjawan Johor 2019, kerajaan negeri PH dilihat tidak mempunyai idea baharu dan bertindak copy and paste manifesto serta bajet kerajaan terdahulu, maka, dengan SC DUN yang diwakili wakil kerajaan serta pembangkang, perbincangan awal berhubung perkara berkaitan boleh dilakukan.

DMJ percaya, walaupun berbeza parti serta asas perjuangan, ADUN kerajaan dan ADUN Pembangkang perlu bekerjasama sebagai penggubal undang-undang dan wakil rakyat demi kebaikan dan kemajuan negeri ini.

“Pada masa sama, DMJ juga mencadangkan supaya Persidangan DUN Johor turut disiarkan secara Live Streaming dan Facebook Live supaya rakyat Johor dapat mengikut rapat apa yang dibincangkan semasa persidangan kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui apa yang wakil rakyat mereka perjuangkan.

“DMJ juga berharap peraturan mesyuarat DUN Johor dipinda bagi membenarkan pembahas sama ada Exco atau ADUN menerima soalan lisan atau celahan supaya perbahasan yang berjalan akan lebih rancak, bersemangat dan memperlihatkan karisma wakil rakyat kedua-dua belah pihak,” menurut kenyataan DMJ itu. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.