UMNO Mantapkan Ahli Akar Umbi Untuk PRU-15

SUNGAI PETANI, 24 Jun – Ahli UMNO termasuk sayap wanitanya di seluruh negara perlu menyelesaikan krisis dalaman di kesemua 191 bahagiannya terlebih dahulu sekiranya mahu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), nanti.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abd. Rahim berkata, perkara tersebut perlu menjadi keutamaan ahli parti selepas mereka kini bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan PAS.

Menurutnya, usaha memantapkan ahli parti tidak akan sampai ke mana-mana jika masalah dalaman itu terus berlarutan sehingga PRU-15.
“Sukar untuk menang jika ahli parti terus berbalah dan berprasangka buruk antara satu sama lain, kita perlu menyelesaikan masalah dalaman yang timbul di setiap bahagian terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani di Hotel Zaques, Jalan Kem Sungai Petani, semalam.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff dan Ketua Wanita Umno Bahagian Sungai Petani, Wan Mohalina Wan Mohamad.

Ujar Norliza, UMNO akan terus berdepan banyak masalah jika ramai ahlinya tidak ikhlas dalam perjuangan dan masih mementingkan diri sendiri. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.