Jangan Wujud Kem Dalam UMNO

RAUB, 24 Jun – Semua ahli UMNO harus merapatkan saf dan tidak hanya terus menuding jari kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam keadaan Pakatan Harapan yang huru-hara dan bercelaru, ahli-ahli UMNO perlu bersatu dan mengelak mewujudkan kumpulan atau kem.

“Kita patut muhasabah diri kita jatuh sebahagiannya atas kesilapan kita bukan orang lain. Jangan menuding jari kepada Datuk Seri Najib seorang, kalau (kesalahan) Datuk Najib seorang kita masih berkuasa.

“Semua ada saham, kita melakukan kesilapan bersama. Tuhan sayangkan kita lagi, tuhan bagi peluang untuk kita berubah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Raub di Dewan UMNO Raub semalam.

Yang hadir sama, ADUN Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin: Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Azinuddin Rahim; Ketua Pemuda UMNO Raub, Fazli Mohamad Kamal; Ketua Wanita UMNO Raub, Zulriani Yahya dan Ketua Puteri UMNO Raub, Umi Hanisa Mokhtar. – UTUSAN ONLINE