SPRM Tiada Integriti Jika Bertindak Hanya Kepada UMNO


SIDANG Media pertama SPRM semalam hanya membuktikan Puan Latheefa Koya hanya sebagai alat Regim Pakatan Harapan (PH) untuk mengalih isu dalaman PKR yang semakin kronik. Memanaskan kembali isu 1MDB tidak akan memberi kesan kepada majoriti rakyat. 1MDB sudah dikira isu lapuk. Regim PH perlu bergerak kehadapan sebagai kerajaan. Menyelesaikan banyak isu yang menindas rakyat terutamanya golongan B40.

2. Sidang Media pula dibuat dalam Bahasa Inggeris dan mengetepikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Salah satu daripada 41 penama pula telah kembali ke rahmatullah. Seolah-olah sidang media ini dilaksanakan secara tergesa-gesa untuk mencalar imej UMNO. Mungkin Regim PH telah merasai tekanan rakyat yang semakin lama semakin menolak kepimpinan Regim PH. Rakyat telah muak dengan permainan politik Regim PH.

3. Walaupun niat utama Puan Latheefa Koya untuk mencalarkan imej UMNO. Apa yang terbongkar menyebabkan rakyat semakin geli dengan permainan politik kotor Regim PH. Wang RM55 juta yang dibelanjakan oleh Dato’ Seri Najib Razak di Gedung Pakaian Jakel rupanya adalah pemberian kepada 14,254 Imam, 138,746 AJK Masjid untuk 7,261 Masjid di seluruh negara selama 3 tahun. Allah akan menunjukkan kebenaran. Yang bathil pasti dihukum.

4. Kemungkinan besar kes ini terkait dengan derma dari Arab Saudi. Jika memang ada kaitan, siasatan ini hanya merugikan duit rakyat. Dalam kes Dato’ Seri Najib yang sedang berlangsung di mahkamah, Ambank telah mengakui bahawa dana RM2.6 billion yang diterima sebelum PRU13 adalah derma. Derma ini diterima daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan Putera Faisal dari Arab Saudi. Apa gunanya siasatan baru? Dah habis modal politik ke?

5. Saya mendesak SPRM dan Puan Latheefa Koya lebih berintegriti dengan menyahut cabaran Dr. Asyraf Wajdi (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia) untuk mempercepat dan membuka kembali kertas siasatan 7 kes berprofil tinggi yang sengaja disenyapkan. 7 kes yang berkaitan adalah :

(1) Kes rasuah dan salah gunakuasa di dalam projek Terowong Bawah Laut yang melibatkan YB Lim Guan Eng, Menteri Kewangan sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

(2) Kes pembelian Banglo yang mencurigakan melibatkan YB Lim Guan Eng Menteri Kewangan sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan Ahli Perniagaan Pang Li Khoon.

(3) Kes berkaitan kejanggalan senarai keanggotaan parti serta dakwaan pembelian undi di dalam pemilihan PKR yang lepas.

(4) Kes rasuah berkaitan pembelian Merdeka Palace Kuching Sarawak oleh Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, Zahid Mat Arif sewaktu beliau menjadi Pegawai Khas Tan Sri Isa Samad, Pengerusi FELDA.

(5) Kes penerimaan wang sejumlah RM800,000 dari 12 kontraktor melibatkan Mohd Azhar Che Mat Dali, Setiausaha Politik YB Menteri Pertahanan, Muhammad Sabu.

(6) Kes memonopoli kontrak perolehan Kementerian oleh anak kepada Menteri Perlancongan, Seni dan Kebudayaan, YB Datuk Muhammadin Ketapi.

(7) Kes terbaharu yang didedahkan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Syukri Abdull di dalam mesyuarat yang melibatkan Menteri-Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian yang dipengerusikan Perdana Menteri berkenaan arahan seorang Menteri Kabinet terhadap penerima kontrak kerajaan untuk menyalurkan dana kepada parti tertentu dengan ugutan untuk menarik balik kontrak jika gagal melakukannya.

6. SPRM adalah sebuah Suruhanjaya dengan fungsi utama mengikut Seksyen 7 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah untuk mendidik orang ramai untuk menentang rasuah dan memelihara sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah. Oleh itu, saya menyeru supaya SPRM bertindak dengan menjulang integriti tanpa ada konflik peribadi dan politik. Kredibiliti SPRM yang telah subur semasa zaman BN perlu diteruskan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat. – Media UMNO

Fairuz Jamaludin
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Pengerusi Sekretariat Tunas Muda

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.