PAS-UMNO Serius Bentuk Pembangkang

KUANTAN, 21 Jun – PAS dan UMNO serius dan komited dalam usaha membentuk barisan pembangkang yang terbesar dan konstruktif untuk berperanan sebagai semak dan imbang kepada ‘kerajaan huyung-hayang’ Pakatan Harapan (PH).

Segala kudrat dan tenaga akan disatukan sebagai usaha menghalang negara dari terus ke lembah kehampaan, ketegangan dan konflik berpanjangan PH yang menimbulkan pelbagai kecelaruan dan kebimbangan kepada rakyat selepas setahun memegang tampuk pemerintahan.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata kerajaan baharu telah setahun berkuasa seperti dijangka ia tidak seindah seperti yang diharap dan dijanjikan.

“Keadaan ekonomi negara tidak menjadi lebih baik, hutang kerajaan semakin meningkat, keadaan hidup rakyat umumnya suram, ketegangan dalam masyarakat perpaduan, keharmonian kaum merundum, unjuran masa depan juga tidak memberangsangkan,” demikian intipati ucapan beliau.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dalam ucapannya pada pagi tadi sempena perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 yang diadakan di Stadium Tertutup SUKPA di sini juga mengalu-alukan kehadiran delegasi kepimpinan tertinggi Umno, MIC, KIMMA, PCM dan tetamu luar negara.

“Sesungguhnya kehadiran tetamu dari kalangan pimpinan parti-parti politik utama dalam negara, pertubuhan NGO dan orang perseorangan serta pertemuan kita pada hari ini amatlah besar ertinya kepada kita semua dalam merangka dan menggarap momentum baharu ke arah perpaduan sejagat serta perpaduan nasional yang dinanti-nantikan semua pihak.

“Empat orang menteri besar dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis, selain itu tujuh orang bekas menteri besar dari seluruh negara , (iaitu) Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Perlis, Johor, Kedah dan bekasmenteri besar Terengganu merangkap Presiden PAS,” ujarnya yang menjangka individu-individu nama besar ini mampu beraksi semula memantapkan kepimpinan barisan pembangkang. – HARAKAHDAILY

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.