Ta’awun PAS-UMNO Mimpi Ngeri Kepada PH

KUANTAN, 20 Jun – Kejayaan PAS-UMNO memenangi siri Pilihan Raya Kecil (PRK) menerusi ta’awun menjadi mimpi ngeri buat kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, igauan itu menyebabkan kerajaan PH melabelkan ta’awun sebagai taliban dan musuh kaum lain supaya orang Melayu dan Islam terus terpecah.

Katanya, PH tidak akan sesekali membenarkan ta’awun PAS-UMNO itu terbentuk kerana gabungan undi parti teras orang Melayu dan Islam itu mampu mengatasi undi popular mereka.

“Jika berjaya, paling menimum sebanyak 65 peratus kesatuan suara Melayu Islam dapat dibentuk.

“Ta’awun Pas-UMNO daripada strategi gabungan undi mempunyai kekuatan besar dan boleh mengatasi undi popular PH yang mana pada pilihan raya lalu cuma 5.7 juta manakala UMNO sebanyak 4.7 juta dan Pas 2.3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Ke-58 di Wisma Belia di sini hari ini.

Mahfodz berkata, matlamat ta’awun antara PAS-UMNO adalah untuk menghalang Dap dan PH daripada berkuasa pada pilihan raya umum akan datang kerana dasar parti itu secara terang-terangan menentang dasar Islam dan kedaulatan Raja-raja Melayu. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.