PAS Rakam Penghargaan Kepada Kerajaan Pahang

KUANTAN, 20 Jun – PAS mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas kerjasama diberikan sempena persidangan Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung di negeri terkenal dengan jolokan Tok Gajah ini.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Kerajaan Negeri Pahang bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada program rasmi tahunan PAS, malah jamuan makan turut disediakan kepada kehadiran perwakilan dalam persidangan muktamar ini.

“Tahniah dan terima kasih PAS ucapkan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang telah beri kerjasama sangat baik bukan sahaja kemudahan diberi, bahkan Menteri Besar juga menyediakan jamuan khas kepada perwakilan muktamar kali ini,” katanya.

Beliau turut merasa berpuas hati dengan perjalanan Muktamar dijadualkan bermula sejak 15 Jun dan akan tamat pada 23 Jun ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 yang diadakan di Bukit Gambang Resort City, di sini hari ini.

Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 kali ini mencipta sejarah apabila julung-julung kalinya Pahang menjadi tuan rumah setelah penubuhan parti itu sejak 65 tahun lalu.

Perkembangan positif ini semakin menambahkan kejernihan keyakinan rakyat terhadap kerjasama politik PAS dan UMNO. – HARAKAHDAILY