Pahang Bina 353 Unit Kediaman Mampu Milik Di Maran

KUANTAN, 19 Jun – Kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama syarikat swasta Angsanapuri Development Sdn Bhd bakal membina 353 unit kediaman mampu milik di Chenor, Maran dekat sini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek itu yang dibangunkan menerusi Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, bertujuan untuk memberi lebih ramai rakyat peluang memiliki kediaman sendiri.

Katanya, rumah tersebut merupakan sebahagian daripada Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang dan Rumah Makmur yang ditawarkan pada harga bermula RM80,000.

“Fasa pembangunannya akan dilakukan secara berperingkat dengan kos keseluruhan RM260 juta dan fasa pertama dijangka siap pada 2021.

“Kerajaan negeri dan pemaju bersetuju memberi keutamaan kepada pembinaan PR1MA Pahang dan Rumah Makmur sebelum membangunkan kawasan seluas 49 hektar dengan hartanah komersial,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Cadangan Projek Pembangunan PR1MA Pahang, Perumahan Mampu Milik dan Perniagaan Atas Tanah Kerajaan di Wisma Sri Pahang, di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mewakili kerajaan negeri pada perjanjian itu manakala Angsanapuri Development diwakili Pengarah Eksekutifnya Datuk Norzan Ahmad.

Menerusi perjajian itu, sebanyak 58 unit PR1MA Pahang dan 57 unit Rumah Makmur dijangka siap menerusi fasa pertama diikuti fasa kedua dengan 114 unit PR1MA Pahang manakala fasa akhir membabitkan 70 unit PR1MA Pahang dan 54 unit Rumah Makmur.

Pemaju juga akan membangunkan 352 unit hartanah komersial di kawasan tersebut, antaranya melibatkan rumah komersial, hotel, pasar raya, kedai pejabat dan stesen minyak.

“Projek ini akan menjadi mercu tanda baharu kawasan Bandar Pusat Jengka di Maran dan difahamkan turut dibina ialah pasar terapung yang pertama di Pahang yang dilihat akan menjadi nilai tambah projek tersebut,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.