Pihak Berkuasa Diminta Siasat Aduan, Bukan Tahan Pengadu

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pihak polis sepatutnya menyiasat secara adil aduan yang dibuat, bukan menahan pengadu yang membuat aduan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, tindakan pihak polis menahan Datuk Lokman Noor Adam malam tadi membuktikan siasatan yang dibuat terhadap aduan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak adil.

“Sepatutnya apabila rakyat buat laporan polis, polis kena siasat aduan itu tapi hari ini apabila rakyat buat laporan polis terhadap perlakuan yang tak bermoral, dia pula kena tahan.

“Rakyat nak buat laporan polis pun takut selepas ini sebab ada provokasi seperti ini,” katanya malam tadi.

Jelas Armand Azha, beliau selama ini meletakkan tahap penghormatan yang sangat tinggi terhadap pasukan polis negara.

“Tapi apabila jadi macam ini, saya mula mempersoalkan adakah Malaysia tak bebas seperti dahulu?” katanya.

Lokman dilaporkan ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang malam tadi.

Menurut laporan portal Malaysia Gazette, Lokman Noor ditahan dipercayai ekoran laporan polis mengenai video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri sebelum ini.

Sementara itu, Lokman dilaporkan telah memberi keterangan kepada pegawai polis daripada Jabatan Jenayah Terkhas Bukit Aman.

Selasa lalu, Lokman yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat membuat laporan di IPD Putrajaya mengenai penyebaran rakaman video lucah yang mirip seorang menteri Kabinet. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.