5,000 Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Pengerusi Perhubungan UMNO Johor

PONTIAN – Seramai 5,000 hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Pengerusi Perhubungan UMNO Johor yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad di Rumah UMNO Bahagian Pontian dekat sini sebentar tadi.

Pelbagai juadah tradisi seperti burasak, lepat lueh, ketupat dan makanan lain seperti nasi beriani, kambing golek dan kuih tradisional disajikan kepada tetamu yang hadir bermula pukul 2.30 petang tadi.

Ketika ditemui, Hasni menghargai kehadiran pelbagai kaum dan peringkat usia yang memeriahkan majlis rumah terbuka anjuran pihaknya.

Menurutnya, kehadiran orang ramai daripada pelbagai kaum mencerminkan perpaduan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk meneruskan majlis rumah terbuka meskipun kini UMNO bergelar pembangkang di negeri ini.

Jelasnya, selain UMNO, MCA dan MIC juga menyatakan komitmen bagi menganjurkan majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

“Ini kali pertama, kita sebagai pembangkang menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang sudah menjadi tradisi dilaksanakan UMNO setiap tahun sebelum ini,” katanya.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Sharir Samad, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Samsolbari Jamali dan Yang Dipertua Pas Kawasan Pontian, Amin Sanusi. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.