Kontroversi Prosiding Inkues Adib Lemahkan Semangat Penjawat Awam

PULAU PINANG 31 Mei – Badan Perhubungan UMNO negeri melahirkan rasa bimbang dengan kontroversi dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang sedang berlaku ketika ini.

Menurut Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir, perkembangan terbaharu itu memberi kesan besar khususnya kepada penjawat awam lain berhubung keadilan yang sepatutnya diperoleh mereka terutama ketika menjalankan tugas.

Tambah beliau, kontroversi itu juga sekiranya berterusan dan gagal diperjelaskan akan melemahkan semangat penjawat awam dalam melaksanakan tugas kerana beranggapan tiada perlindungan sewajarnya kepada mereka khususnya daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sepatutnya penjawat awam ini khususnya yang bekerja di lapangan dan berdepan dengan risiko keselamatan nyawa dan diri mendapat perlindungan dan sokongan sepenuhnya dari sudut undang-undang dan perhatian kerajaan.

“Namun, apa yang berlaku dalam perkembangan terkini prosiding inkues kematian Muhammad Adib seolah-olah pengorbanan dan perjuangan penjawat awam seperti tidak ada makna,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung isu penarikan diri peguam, Syazlin Mansor daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib baru-baru ini.

Tindakan itu mencetuskan persoalan banyak pihak memandangkan tempoh inkues hanya berbaki beberapa hari selain menimbulkan tanda-tanya berhubung tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang baru sekarang mempersoal kredibiliti Syazlin.

Sementara itu, Musa berkata, kontroversi dalam prosiding inkues Muhammad Adib tersebut juga mencalar kredibiliti dan integriti badan perundangan dan kehakiman negara selepas banyak pihak kini mula mempersoalkan serta mempertikai mengenainya.

Malah, tegasnya, perkara itu juga menafikan hak rakyat amnya dan keluarga Muhammad Adib khususnya untuk melihat keadilan atas kematian anggota bomba berkenaan yang terkorban ketika menjalankan tugas menjaga keamanan negara dapat ditegakkan.

“Seluruh rakyat kini berkongsi kesedihan dan kekecewaan berhubung kontroversi prosiding inkues ini namun tetap berharap Muhammad Adib akan mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.