Campur Tangan Inkues Adib: Peguam Negara Bela Mangsa Atau Penjenayah?

KOTA BHARU 29 Mei – Peguam Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu memberi penjelasan yang lebih ‘masuk akal’ mengenai penarikan diri peguam Syazlin Mansur daripada prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Exco Pemuda UMNO yang juga Pengerusi Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, pada ketika ini, seluruh masyarakat yang mengikuti inkues tersebut terkejut dengan berita penarikan diri Syazlin sebagai peguam pemerhati yang dilantik oleh KPKT sendiri.

Lebih mengejutkan kata beliau, perkara itu dikatakan dibuat oleh KPKT atas arahan yang dikeluarkan Peguam Negara, dengan alasan tugasan yang bertindan atau ‘redundant’ antara pegawai dari Jabatan Peguam Negara dengan Syazlin sebagai peguam lantikan KPKT.

“Pada asalnya adalah jelas bahawa peranan peguam pemerhati ini adalah bagi melengkapkan apa-apa kekurangan sepanjang prosiding berjalan. Malah saksi-saksi yang dibawa oleh KPKT amat membantu dalam mencari punca kematian Adib.

“Semua pihak seharusnya saling membantu koroner mencari punca kematian, membawa saksi dan bukti penting serta memastikan segala kekurangan sepanjang inkues dilengkapkan, berbeza dengan perbicaraan kes jenayah yang melibatkan pihak-pihak yang menentang satu sama lain,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, Nik Saiful Adli berkata, terlalu banyak persoalan timbul selepas penarikan diri Syazlin, lebih-lebih tindakan beliau tersebut dibuat selepas 36 hari inkues yang kini hanya berbaki dua hari sahaja lagi.

Kata beliau, tindakan tersebut dilihat akan mengganggu perjalanan inkues lebih-lebih lagi Syazlin diketahui telah pun membantu sejak inkues bermula.

“Pemuda UMNO mendesak supaya Peguam Negara dan KPKT memberi penjelasan yang ‘masuk akal’ mengenai penarikan diri peguam ini, bukannya membuka ruang untuk rakyat melemparkan tohmahan terhadap sistem perundangan negara.

“Jika benar KPKT tidak mampu membela nasib arwah Muhammad Adib, Pemuda UMNO sejak awal-awal lagi telah menawarkan khidmat peguam dan (KPKT) tidak perlulah tawarkan khidmat kalau hanya untuk suka-suka,” kata beliau.

Nik Saiful Adli dalam pada itu mahu mengingatkan kembali Peguam Negara bahawa inkues tersebut dibuat adalah bertujuan mencari kebenaran dan membela kematian mangsa, bukannya menyembunyikan kesalahan mana-mana penjenayah. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.