Agong Ucap Takziah Kepada Keluarga Mendiang Khoo Kay Kim

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga sejarawan dan ahli akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang meninggal dunia pagi tadi.

Baginda juga mengiktiraf sumbangan besar ahli sejarah terkenal itu kepada negara.

“Khoo adalah seorang prolifik dan rakyat Malaysia yang dihormati yang mendedikasikan hidupnya kepada Malaysia.

“Seorang wira sejati, peranannya dalam membina negara, menerusi pengajaran, penyelidikan, tulisan dan keterlibatan beliau dalam merangka Rukun Negara, mesti dihormati dan diakui. Pemergiannya adalah kehilangan besar kepada Malaysia,” menurut kenyataan daripada Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Khoo, 82, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya, pada 10.13 pagi tadi.

Khoo yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga anak, Eddin, Rubin dan Mavin.

Beliau juga merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada Mei 1969.

Jasad mendiang Khoo dijangka dikebumikan di Nirvana Memorial Park (Nirvana) Shah Alam, Sabtu ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.