Pengukuhan kerjasama UMNO- Pas gerunkan PH

KUANTAN 28 Mei – Pengukuhan kerjasama antara UMNO dan Pas yang merupakan dua parti Melayu terbesar di negara ini menimbulkan kegerunan kepada lawan politik mereka.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohd. Shahar Abdullah berkata, hal demikian kerana orang Melayu merupakan populasi terbesar di negara ini.

“Apabila kedua-dua parti terbesar masyarakat Melayu ini mengukuhkan persefahaman dan kerjasama, ia bakal membentuk satu ikatan yang kuat serta penyusunan gerak kerja lebih mantap menuju Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Selalunya majoriti akan menentukan kuasa,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan sumbangan kepada kanak-kanak memerlukan bantuan di Jaman Tory Resepi Indera Mahkota di sini semalam.

Yang hadir sama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar.

UMNO dan Pas dilaporkan akan memperkukuhkan lagi kerjasama secara rasmi melalui satu piagam yang akan dimeterai selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti tersebut sedang dalam proses penilitian terakhir piagam tersebut.

Beliau bagaimanapun menegaskan kerjasama rasmi tersebut masih belum mencapai tahap pembentukan gabungan baharu parti-parti politik seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.