Peguam Negara Perlu Jelas Isu Kelewahan

KUALA LUMPUR 28 Mei – Peguam Negara perlu menjelaskan secara terperinci berkenaan penarikan diri peguam, Syazlin Mansor yang disifatkan kehadirannya dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim sebagai kelewahan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang musykil dengan alasan tersebut mempersoalkan mengapa tindakan sedemikian diambil selepas 36 hari prosiding berlangsung.

Dakwanya, daripada catatan prosiding inkues adalah amat jelas saksi-saksi dikemukakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan keterangannya sangat berbeza dari keterangan diberikan saksi Jabatan Peguam Negara.

“Timbul persoalan di sini adakah Jabatan Peguam Negara mahu beberapa fakta kepada prosiding tersebut tidak diberi pertimbangan Koroner?

“Persoalan kini adakah apabila pegawai Jabatan Peguam Negara mengambil alih tugas Syazlin, beliau boleh memohon kepada Koroner untuk membuang apa-apa keterangan yang telah diterima,” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Perkara itu dimaklumkan Syazlin di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.