Inkues Adib: Penarikan Syazlin, Siapa Beri Arahan?

KUALA LUMPUR 28 Mei – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mendesak agar surat yang mengarahkan peguam Syazlin Mansor untuk menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim didedahkan kepada umum.

Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahya berkata, ini kerana rakyat berhak mengetahui siapa yang memberikan arahan tersebut termasuk sebab penarikan itu dilakukan.

“Kenapa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin secara tiba-tiba menyifatkan peranan Syazlin tidak diperlukan lagi dan mengapa penarikan itu dilakukan disaat-saat akhir inkues.

“Adakah Syazlin menerima ugutan dan kita mahu tahu siapa yang memberikan arahan tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Tambah Aminuddin, Ummah juga mahu Syazlin, Zuraida serta Peguam Negara, Tommy Thomas dipanggil sebagai saksi dalam prosiding inkues tersebut supaya mahkamah dapat menyiasat sama ada wujud sebarang tekanan atau arahan jahat untuk menggangu inkues. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.