Terlalu Awal Bincang Soal Kerusi

KUALA LUMPUR 25 Mei – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johari Abdul Ghani menyifatkan masih terlalu awal bagi UMNO dan PAS untuk membincangkan tentang pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, sebaliknya kedua-dua gabungan parti itu perlu menjalinkan kerjasama padu serta mengeratkan hubungan antara satu sama lain dengan memfokuskan satu perjuangan yang sama.

Bagaimanapun menurutnya, perkara tersebut merupakan cadangan baik bagi mengelakkan sebarang kesilapan seperti mana berlaku dalam pilihan raya yang lalu.

“Itu satu cadangan yang baik kerana apapun akhirnya kita tidak mahu apa yang berlaku pada PRU lepas di mana dua parti politik ini bertentang di antara satu sama lain dan akhirnya parti lain yang menang. Sedangkan UMNO dan PAS mempunyai agenda yang sama. Jadi sudah tentu perbincangan itu sangat penting.

“Tapi soalnya mungkin terlalu awal untuk dibincangkan pada hari ini kerana kita baru lepas pilihan raya setahun dan sudah tentu perbincangan ini perlu diadakan pada masa akan datang.

“Buat masa ini, kedua-dua parti perlu adakan kerjasama mengeratkan hubungan antara satu sama lain supaya kita dapat menjalinkan keakraban di antara kedua-dua pihak dan berdepan dengan PRU-15,” katanya selepas merasmikan Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kedua-dua parti itu perlu mengadakan perbincangan tentang pengagihan kerusi untuk ditandingi dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya PRU-15 secara mengejut.

Dalam majlis itu, sebanyak 2,500 ahli daripada 88 cawangan UMNO Bahagian Titiwangsa menerima sumbangan berupa duit raya dan barang keperluan harian seperti beras, susu dan sardin khusus kepada mereka yang tergolong dalam kumpulan miskin bandar. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.